KUALA LUMPUR 13 Jan. - Ringgit kembali meningkat berbanding dolar AS dalam dagangan pagi ini, dibuka pada RM4.0430/0480, lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.0550/0600.
Ini kerana pelabur mula melihat sentimen positif dalam pasaran apabila kerajaan membenarkan perniagaan beroperasi di sebalik pengisytiharan darurat sehingga 1 Ogos 2021.
Pada Isnin, kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di 6 negeri selama 2 minggu bermula tengah malam tadi.
AmBank Research berkata, di sebalik kelemahan dolar AS, ringgit semalam ditutup rendah 0.09% selepas darurat diisytiharkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Dolar AS, merosot 0.41% kepada 90.093 selepas 3 hari mencatat keuntungan ekoran data ekonomi yang lemah.
"Indeks FBM KLCI juga susut 0.32% kepada 1,612 walaupun pembelian asing berjumlah RM101.9 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0328 dan RM4.0437 manakala paras rintangan antara RM4.0727 dan RM4.0842. - DagangNews.com