Ringgit mengukuh dalam dagangan pagi | DagangNews Skip to main content

Ringgit mengukuh dalam dagangan pagi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Ringgit memulakan dagangan pagi pada RM4.0400/0450 berbanding dolar Amerika Syarikat didorong harga minyak mentah global yang stabil. 

 

Semalam, mata wang itu ditutup rendah pada RM4.0470/0500 berbanding dolar AS kerana pelabur memilih mata wang AS itu sebagai mata wang selamat dalam persekitaran peningkatan kes COVID-19 di peringkat global. 

 

AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan pada paras sokongan hari ini antara RM4.0354 dan RM4.0417 manakala paras rintangan antara RM4.0539 dan RM4.0603.

 

Menurutnya, harga minyak menyaksikan perubahan kecil pada Selasa apabila kematian akibat wabak itu membimbangkan prospek permintaan global tetapi diatasi dengan laporan mengenai letupan di Arab Saudi.

 

Brent menokok 3 sen atau 0.05% kepada AS$55.91 setong manakala West Texas Intermediate susut 16 sen atau 0.3% kepada AS$52.61.  

 

"Dolar AS pula menyusut 0.23% kepada 90.183 memandangkan pelabur masih berhati-hati terhadap cadangan pakej rangsangan AS dan pelancaran vaksin COVID-19 yang perlahan," katanya dalam nota kajian. 

 

Sementara itu, HLIB Research menjangkakan ringgit kekal neutral dalam dagangan hari ini setelah semalam ditutup mendatar. 

 

"Trend ini dijangka berterusan dalam sesi hari ini, tambahan pula menjelang cuti umum esok dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC)," katanya dalam nota kajian. 

 

Firma itu bagaimanapun tidak menjangkakan sebarang kejutan yang akan diumumkan Rizab Persekutuan AS. - DagangNews.com