KUALA LUMPUR 4 Mei - Ringgit mengukuh dalam dagangan pagi ini dibuka pada RM4.1000/1050 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam pada RM4.1030/1055.
HLIB Research mengekalkan unjuran julat dagangan ringgit minggu ini antara RM4.09 hingga RM4.12 berbanding dolar AS.
Katanya, dijangka terdapat sedikit penurunan bagi dolar AS sepanjang minggu ini memandangkan sentimen beransur pulih meskipun indeks pembuatan ISM Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada April agak lemah pada 60.7 (berbanding Mac, 64.7) tetapi masih merekodkan pengembangan.
"Kami masih mengekalkan dagangan neutral kepada mengukuh bagi ringgit dengan mengambil kira sedikit penyusutan dalam dolar AS.
"Dalam masa sama, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia dilihat akan menyokong ringgit," katanya dalam nota kajian.
PMI Pembuatan Malaysia IHS Markit naik kepada 53.9 pada April berbanding 49.9 pada Mac, mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam sektor pembuatan. - DagangNews.com