Ringgit pagi ini dibuka rendah | DagangNews Skip to main content

Ringgit pagi ini dibuka rendah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Ringgit susut sedikit dalam dagangan pagi ini dibuka pada RM4.0420/0450 berbanding dolar AS.

 

Semalam, mata wang itu mengukuh pada RM4.0410/0460 dipacu oleh komoditi, terutama menerusi harga minyak mentah.

 

AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0157 dan RM4.0296 manakala paras rintangan antara RM4.0621 dan RM4.0749.

 

Ringgit mengukuh 0.33% semalam, tertinggi dalam tempoh 2 hari manakala FBM KLCI juga menokok 1.53% kepada 1,636.7 mata di sebalik pembelian asing berjumlah RM127.3 juta. 

 

"Selain itu, pembelian dalam pasaran bon tempatan juga sengit, berikutan jangkaan pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia dalam mesyuarat monetari pada bulan ini," katanya dalam nota kajian. 

 

Menurutnya, dolar AS kembali meningkat 0.29% kepada 90.355 manakala harga minyak mentah global pula merosot. 

 

Brent susut 0.92% kepada AS$56.06 setong susulan peningkatan jangkitan baharu COVID-19. Minyak West Texas Intermediate juga jatuh 0.56% kepada AS$52.91 setong. 

 

Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan dalam masa terdekat ini, ringgit akan berada dalam lingkungan antara RM4.05 hingga RM4.10 berbanding dolar AS berikutan pelaksanaan PKP 2.0 dan pengisytiharan darurat di seluruh negara.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran akhir tahun pada RM3.95 berbanding dolar AS susulan pelancaran vaksin, harga minyak mentah Brent dan penyusutan dolar AS. - DagangNews.com