Ringgit teruskan aliran menaik | DagangNews Skip to main content

Ringgit teruskan aliran menaik

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Ringgit mengukuh dalam dagangan pagi ini dibuka pada RM4.0330/4.0380 berbanding dolar AS. 

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, dagangan hari ini dijangka meneruskan trend menaik setelah dolar AS mengalami kemerosotan semalaman. 

 

"Kami mengubah pandangan neutral kepada lemah bagi dolar AS/ringgit tetapi masih berhati-hati memandangkan pasaran mungkin menunggu terutama menjelang cuti hujung minggu berikutan laporan mengenai cadangan fiskal Joe Biden," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Semalam, ringgit mengukuh 0.16% didorong kelemahan dolar AS dan kenaikan harga minyak mentah. 

 

Mata wang itu ditutup pada RM4.0370/0420 berbanding dolar AS daripada 4.0410/0460 sewaktu ditutup pada Rabu.

 

Indeks FBM KLCI pula susut 0.06% kepada 1,635.7 mata walaupun menyaksikan aliran masuk asing berjumlah RM5.4 juta dalam pasaran ekuiti. 

 

Menurut AmBank Research, pelabur tempatan merupakan penjual bersih ekuiti sebanyak RM5.4 juta bagi 6 hari berturut-turut. 

 

Pakej fiskal daripada pentadbiran Biden bernilai AS$2 trilion yang disifatkan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell masih terlalu awal untuk membuat sebarang perubahan terhadap dasar monetari bank pusat, termasuk program pembelian bon bernilai AS$120 bilion sebulan.

 

"Dolar AS merosot untuk hari kedua dagangan, jatuh 0.13% kepada 90.239 susulan laporan berkenaan.

 

"Untuk itu, kami menjangkakan ringgit diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0153 dan RM4.0233 manakala paras rintangan pada RM4.0472 dan RM4.0564," katanya. - DagangNews.com