RM60 juta untuk pekebun kecil kelapa sawit, lada di Sarawak | DagangNews Skip to main content

RM60 juta untuk pekebun kecil kelapa sawit, lada di Sarawak

Gambar Reuters

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Sarawak memperuntukkan sehingga RM60 juta buat pekebun kecil kelapa sawit dan lada di negeri itu yang terjejas bagi membeli baja untuk tanaman mereka. 

 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, bantuan kewangan itu dijangka dapat meringankan beban pekebun ekoran pandemik COVID-19 seterusnya memberi motivasi kepada mereka untuk meningkatkan pengeluaran.

 

“Pendapatan mereka telah terjejas akibat pandemik COVID-19 dan harga yang tidak stabil bagi kedua-dua komoditi itu,” katanya seperti dilaporkan MalayMail. 

 

Beliau sebelum itu menyerahkan peruntukan bantuan tersebut kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), Edwin Abit dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Alvin Chai. 

 

Unggah turut menyerahkan geran RM8 juta daripada kerajaan negeri kepada Yayasan Kebudayaan Dayak.

 

Tambah Unggah, dana baja itu akan diagihkan kepada pekebun secara berperingkat bermula Oktober oleh pejabat pertanian daerah dan Pertubuhan Peladang Kawasan. 

 

Difahamkan, terdapat kira-kira 58,000 pekebun kelapa sawit dan lada di negeri itu, serta setiap daripada mereka bakal menerima 12 beg baja.  - DagangNews.com