KUALA LUMPUR 12 Sept - CGS-CIMB Research berpendapat bahawa kerajaan sedang mengimbangi pelbagai keperluan pembangunan dan pada masa sama menyerlahkan potensi jangka sederhana Malaysia bagi menarik lebih ramai pelabur.
Firma penyelidikan itu berkata, tiada sebarang pengumuman besar dibuat semasa pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 dan RMK12 rancangan yang merangkumi bukan sahaja rangka kerja Ekonomi Madani, tetapi juga Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang dikeluarkan sebelum ini.
Bagaimanapun, CGS-CIMB Research melihat kerajaan menunjukkan minat yang lebih luas dalam membangunkan sektor industri halal, pelancongan, pertanian pintar dan perkhidmatan global.
Mengenai projek infra, katanya, LRT Pulau Pinang, bersama sembilan lagi projek pengangkutan baharu disebut semasa pembentangan itu namun tiada sebarang pengumuman dibuat mengenai MRT3.
"Kami mendapati komitmen yang lebih besar untuk menangani isu tadbir urus, dengan beberapa perubahan perundangan yang dirancang, seperti Akta Pendanaan Politik, Akta Perolehan Kerajaan dan Akta Tanggungjawab Fiskal.
"Mengenai peningkatan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM15 bilion (kenaikan 3.8%) bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kerana ini mungkin mengambil kira inflasi yang lebih tinggi baru-baru ini dan bukannya sebarang perubahan ketara dalam arah perbelanjaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, RMK12 tertumpu kepada tiga tema utama iaitu penetapan semula ekonomi, memperkukuhkan keselamatan kesejahteraan dan keterangkuman serta memajukan kemampanan.
"Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4% untuk 2023 dan 4.6% untuk 2024," katanya.- DagangNews.com