SHAH ALAM 20 Ogos - Dalam usaha menampilkan kelainan, The Rug Cartel tampil dengan menawarkan karpet buatan tangan berdasarkan corak yang diinginkan pelanggan.
Pengurus Kreatif perniagaan itu, Kamil Hafiz Sharuddin berkata, perniagaan itu bermula selepas mereka ke Indonesia dan teruja dengan pasaran karpet tempahan khas di negara itu sebelum mengambil keputusan untuk membuka perniagaan sendiri bermula Ogos 2021.
Katanya, rekaan mereka tidak terhad kepada corak yang biasa dilihat malahan mereka boleh menyediakan rekaann adiwira seperti Captain America, Ironman, Batmaan, Superman dan sebagainya.
"Kami sangat teruja dengan permintaan untuk karpet buatan khas ini, di Indonesia mereka sudah mula menghasilkan dengan skala besar dan kami mahu menjadi antara yang awal memulakan perniagaan itu di sini.
"Pada awalnya pembabitan kami dalam perniagaan ini, kami mulakan dengan corak yang mudah iaitu awam dalam anime Naruto dan kemudian berkembang kepada rekaan yang semakin kompleks.
"Permintaan memang sangat baik kerana orang ramai mahukan rekaan yang lain daripada kebiasaan," katanya kepada DagangNews.com ketika ditemui di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Selangor di perkarangan Stadium Shah Alam.
Beliau berkata, setiap rekaan memerlukan masa antara dua hingga tiga minggu untuk disiapkan berdasarkan kepada corak serta saiz yang dikehedaki.
Katanya, buat masa sekarang mereka menerima antara 20 hingga ke 25 tempahan setiap bulan.
"Harga untuk karpet bersaiz 1 kaki persegi adalah bermula RM60 dan kami pernah menerima tempahan bersaiz 7 kaki persegi untuk ruang tamu mereka berharga RM2,500," katanya. - DagangNews.com