Oleh Dominic Gerard Joseph
dari Kota Kinabalu
KOTA KINABALU 14 Jun - Di seluruh negara, seluruh rakyat negara ini menanti giliran masing-masing untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 yang kini diperhebatkan dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ikuti pengalaman wakil DagangNews di Sabah, Dominic Gerard Joseph ketika menerima vaksinasi di kawasan tempat tinggalnya di Penampang iaitu satu daripada daerah di dalam bandar Kota Kinabalu:
BERITA terbaik dan pengalaman positif yang saya hendak sampaikan ialah apabila keluarga saya mendapat temujanji untuk mendapat vaksin COVID-19 pada 29 Mei lalu. Seawal pukul 7 pagi, kami telah bertolak dari rumah ke PPV COVID-19.
Kami mendapati ramai penduduk yang terdiri daripada berbilang kaum, bangsa dan agama yang saya percaya menetap di daerah Penampang dan persekitarannya telah membanjiri Pusat Kebudayaan Penampang, Donggongon, Penampang, Sabah.
Terdapat petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai-pegawai perubatan, RELA, pegawai-pegawai penguatkuasa dan lain-lain lagi telah membuat persediaan yang rapi seawal pukul 7.30 pagi. Saya mendapati pegawai-pegawai yang bertugas pada hari itu telah mengawal keadaan dan suasana di PPV tersebut dengan tenang dan teratur.
Selepas kami mendapat vaksin COVID-19, kesimpulan yang saya boleh buat ialah Pusat Pemberian Vaksin tersebut telah memberi perkhidmatan yang terbaik.
Maklum balas yang saya terima dari penerima vaksin lain dan rakan-rakan saya ialah PPV di daerah yang berlainan juga mendapat sambutan yang positif dari penduduk-penduduk persekitaran.
Sambutan positif ini mestilah dicontohi oleh semua penduduk di semua daerah di seluruh Malaysia. Promosi dan maklumat tepat yang diedarkan oleh Jabatan Kesihatan Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberi impak yang baik kepada penduduk-penduduk di Sabah.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan penuh ini, rakyat dinasihati supaya mereka yang mempunyai keperluan mendesak sahaja turun ke bandar.
Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Sabah berharap orang ramai membuat perancangan perbelanjaan supaya tidak kerap turun ke bandar untuk membeli keperluan harian.
Satu cara untuk memutuskan rangkaian virus COVID-19 adalah dengan mendaftar bagi mendapat vaksin yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Untuk pemulihan ekonomi negara kerjasama dari semua pihak diperlukan. Di saat-saat yang genting ini nyawa rakyat mesti diutamakan dan jangan asyik berpolitik sahaja.
Kita harap semua pihak akan memberi kerjasama dengan mengikuti nasihat dan arahan-arahan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan negeri masing-masing demi kesenangan kita semua.
Soalan yang kita patut tanyakan pada diri sendiri ialah, adakah saya dan keluarga saya, jiran sebelah rumah saya, saudara-mara dan rakan-rakan saya telah mendapat vaksin COVID-19?
Jika semua rakyat bersatu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendapat vaksin COVID-19, rangkaian virus boleh dimusnahkan dan pemulihan ekonomi negara boleh dipercepatkan.