Saham Asia: Tumpu data ekonomi, bukan pilihan raya AS, kata pakar | DagangNews Skip to main content

Saham Asia: Tumpu data ekonomi, bukan pilihan raya AS, kata pakar

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Para pelabur saham Asia disarankan untuk menumpu ke arah data ekonomi di rantau ini untuk mempengaruhi keputusan pelaburan mereka berbanding mengambil kira aspek pilihan raya Amerika Syarikat (AS) ketika ini. 

Ketua Hutang Negara Asia di Aberdeen Standard Investment, Kenneth Akintewe (gambar atas) menjelaskan Asia mempunyai data ekonomi yang kukuh dan ini membuktikan bahawa rantau itu berprestasi lebih baik daripada momentum yang diramalkan. 

“Saya berasa ini sesuatu yang luar biasa, kita berbincang selama dua hari di sini mengenai … pilihan raya dan saya jarang sekali mendengar sesiapa pun bercakap tentang data (ekonomi).

"Di Asia, adalah penting untuk (pelabur) ingat bahawa pilihan raya bukan perkara paling utama yang berlaku ketika ini. Data adalah salah satu perkara paling penting,” katanya dalam rancangan “Street Signs Asia” oleh CNBC. 

Hari ini, saham di Asia Pasifik menyaksikan lonjakan dengan indeks pasaran utama di rantau ini, Hang Seng meningkat lebih daripada 2%, setakat tengah hari tadi. 

Tambah Akintewe, sektor eksport, pengeluaran dan Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) di Asia menunjukkan pemulihan, malah sektor perkhidmatan turut melonjak. 

Semalam, sebuah kaji selidik menunjukkan aktiviti sektor perkhidmatan China meningkat pada bulan Oktober. 

Sebelum itu, data sektor pembuatan di China juga menunjukkan pengembangan bagi bulan sama.

Dalam masa sama, sebuah kaji selidik berbeza juga melaporkan aktiviti perkhidmatan di India meningkat buat kali pertama pada Oktober 2020 sejak lapan bulan lalu.

Katanya, ini menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi Asia memasuki tahun hadapan adalah memberangsangkan. 

Ketika pasaran dibuka, saham Asia dan Malaysia menunjukkan peningkatan memandangkan para pelabur berharap Joe Biden dari parti Demokrat AS bakal memenangi pilihan raya presiden kali ini. 

Ketika laporan ditulis, Biden telah meraih sebanyak 264 undian dengan Donald Trump mencatatkan angka 214. - DagangNews.com