KUALA LUMPUR 12 Julai - Tawaran Awam Permulaan (IPO) kumpulan syarikat pajak gadai Well Chip Group Bhd (WCGB) yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia, telah terlebih langgan sebanyak 12.87 kali.
Malaysian Issuing House Sdn Bhd, dalam satu kenyataan hari ini, berkata sebanyak 13,057 permohonan untuk 416.12 juta saham IPO diterima bagi 30 juta saham yang disediakan untuk permohonan orang ramai Malaysia.
Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 3,572 permohonan untuk 96.6 juta saham IPO telah diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 5.44 kali.
Bahagian bukan Bumiputera pula menerima sejumlah 9,485 permohonan untuk 319.56 juta saham IPO, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 20.3 kali.
WGCB berpangkalan di Johor, yang berusaha mengumpul RM172.5 juta daripada IPOnya, berurusan dalam emas dan barangan berkaitan sebagai cagaran untuk memudahkan pemberian pinjaman tunai kepada segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan dan tidak diberi perkhidmatan.
Sejarah WCGB bermula pada tahun 2006, di mana mereka memulakan perniagaan perkhidmatan pajak gadai dan kedai pajak gadai pertama dibuka pada tahun 2007. Perniagaan ini telah berkembang kepada 23 kedai pajak gadai dan 4 kedai runcit setakat LPD.
Daripada hasil IPO, RM124.3 juta atau 72% akan diperuntukkan sebagai modal tunai untuk 23 pajak gadai sedia ada, RM40 juta atau 23.2% untuk pembesaran tujuh pajak gadai baharu dan baki RM8.2 juta atau 4.8% untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.
Penyenaraian syarikat itu dijadualkan pada 23 Julai ini.
Kenanga Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja jamin pengurusan, penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama; dan CGS-International Securities Malaysia Sdn Bhd adalah penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama untuk pelaksanaan IPO ini. - DagangNews.com