Saham sarung tangan heret naik KLCI, Serba Dinamik dan LKL rancak diniagakan | DagangNews Skip to main content

Saham sarung tangan heret naik KLCI, Serba Dinamik dan LKL rancak diniagakan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Indeks pasaran utama, FBM KLCI mengakhiri dagangan pada petang ini dalam ‘wilayah’ positif apabila ditutup 8.50 mata atau 0.56% lebih tinggi kepada paras 1,520.82. 

 

Harga saham sarung tangan yang rata-rata menyaksikan lonjakan ketika ditutup merangsang pasaran ekuiti Malaysia untuk melepasi paras rintangan 1,500 mata. 

 

Saham Hartalega Holdings Berhad mendahului kaunter untung, berakhir 38 sen lebih tinggi kepada RM7.64. 

 

Impak positif ini turut dirasai oleh tiga syarikat sarung tangan getah terbesar lain, iaitu Top Glove Corporation Berhad, Kossan Rubber Industries Berhad dan Supermax Corporation Berhad yang menjadi antara 10 saham paling untung hari ini. 

 

Harga saham Malaysian Pacific Industries Berhad pula merosot paling banyak, berakhir 94 sen lebih rendah kepada RM42.38. 

 

Turut menerima tempias serupa, saham Kumpulan H & L High-tech Berhad (Hightec) yang menyusut 45 sen kepada RM4.24. 

 

Ini diikuti oleh Widetech (Malaysia) Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad, Nestle (Malaysia) Berhad, UMS Holdings Berhad dan Y&G Corporation Berhad. 

 

Beralih kepada kaunter paling aktif, saham Serba Dinamik Holdings Berhad rancak diniagakan, berakhir positif apabila harga sahamnya melonjak RM0.045 kepada RM0.455.

 

Ini membuktikan saham Serba Dinamik masih lagi dalam ‘radar’ para pelabur sejak timbulnya isu pertikaian antara syarikat dan bekas pengaudit luarnya, KPMG PLT.

 

Turut menjadi tumpuan pelabur adalah saham LKL International Berhad yang berakhir 4 sen lebih tinggi kepada 32 sen. 

 

Penutupan dagangan pasaran ekuiti Malaysia hari ini menyaksikan jumlah kaunter untung iaitu 612 mengatasi 348 kaunter rugi. - DagangNews.com