KUALA LUMPUR 3 Nov. - Urus niaga saham Scomi Group Bhd. akan digantung mulai Isnin depan sekiranya kumpulan tersebut gagal mengemukakan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020, Jumaat ini.
Dalam kenyataan hari ini, Bursa Securities berkata, Scomi gagal mengemukakan laporan tahunan itu termasuk penyata kewangan diaudit beserta laporan pengarah dan juruadit untuk siaran umum pada 30 Oktober lalu seperti termaktub dalam peraturan penyenaraian.
"Jika syarikat gagal mengemukakan penyata kewangan tertangguh dalam tempoh lima hari dagangan selepas tamat tempoh masa ditetapkan, Bursa Securities boleh menggantung dagangan sekuriti syarikat tersenarai," katanya.
Menurut Bursa, sebaliknya, jika Scomi masih gagal mengemukakan laporan tahunan tertangguh pada 6 November ini, ia akan digantung mulai 9 November sehingga diberitahu kelak.
"Sekiranya Scomi gagal untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh enam bulan mulai 6 November, prosedur nyahsenarai akan dilaksanakan ke atas kumpulan syarikat ini," katanya. - DagangNews.com