Sains, Sacofa, PPTEL bentuk konsortium penuhi aspirasi 'pendigitalan Sarawak' | DagangNews Skip to main content

Sains, Sacofa, PPTEL bentuk konsortium penuhi aspirasi 'pendigitalan Sarawak'

Majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (Sains), Sacofa Sdn. Bhd. (Sacofa) dan PP Telecommunication Sdn. Bhd. (PPTEL) yang disaksikan Menteri Tenaga dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, hari ini.

KUCHING 6 April - Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (Sains), Sacofa Sdn. Bhd. (Sacofa) dan PP Telecommunication Sdn. Bhd. (PPTEL) menjalin kerjasama bagi mencapai aspirasi transformasi 'pendigitalan Sarawak'.

 

Menteri Tenaga dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, sektor telekomunikasi di negeri itu sepatutnya diterajui oleh swasta untuk membawa Sarawak maju ke hadapan. 

 

Katanya, dengan pembentukan konsortium terdiri daripada Sains, Sacofa dan PPTEL itu, ia akan membantu negeri itu mencapai transformasi digital. 

 

"Transformasi digital adalah salah satu pemboleh utama yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang akan melengkapkan Sarawak dengan ekosistem perniagaan yang lebih baik dan mengurangkan ketidakcekapan birokrasi melalui penggunaan teknologi baharu.

 

"Diinspirasikan daripada inisiatif Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketiga-tiga syarikat ini bersetuju untuk bekerjasama bagi memenuhi matlamat 'pendigitalan Sarawak," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman membabitkan syarikat-syarikat berkenaan, hari ini.

 

Setiap syarikat tersebut telah memainkan peranan penting dalam transformasi digital negeri, daripada menyediakan infrastruktur digital kepada membina kesalinghubungan ke kawasan luar bandar dan terpencil.

 

Malah, ia turut membangunkan dan melaksanakan sistem aplikasi untuk membolehkan perkhidmatan kerajaan Sarawak diakses dengan mudah oleh orang ramai pada bila-bila masa dan di mana jua.

 

Menurut Julaihi, kerjasama itu akan menyediakan keseluruhan ekosistem yang diperlukan untuk pendigitalan Sarawak dengan berkesan.

 

"Sebagai enjin utama dalam mempercepatkan transformasi pendigitalan negeri, konsortium itu akan bertindakan sebagai ejen utama bagi pendigitalan Sarawak, bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan yang lain, penyedia teknologi dan vendor tempatan," katanya.

 

Sementara itu, dalam sidang akhbar seperti dilapor Dayak Daily, beliau turut menggesa syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Digi, Maxis dan UMobile untuk melabur dan memperluaskan liputan mereka di kawasan luar bandar di Sarawak.

 

"Kami telah menjemput penyedia perkhidmatan untuk menyertai kami dalam lawatan ke luar bandar untuk menunjukkan bagaimana permintaan di kawasan ini meningkat dari semasa ke semasa.

 

“Mereka tidak seharusnya bimbang untuk melabur dalam menyediakan liputan internet di kawasan itu, kerana beberapa menara telekomunikasi telah dibina dan lebih banyak lagi akan dibina pada masa hadapan," tambahnya. - DagangNews.com