Salcon, BISB bekerjasama untuk membangunkan projek infrastruktur di luar Malaysia | DagangNews Skip to main content

Salcon, BISB bekerjasama untuk membangunkan projek infrastruktur di luar Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Jan - Salcon Berhad, anak syarikat milik penuh Salcon Engineering Bhd (SEB) berjaya memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Berjaya Infrastructure Sdn Bhd (BISB) untuk mengggunakan sumber mereka secara bersama dalam membangunkan projek pembangunan infrastruktur terpilih di luar Malaysia.

 

Pengerusi BISB, Datuk Richard Curtis berkata, kerjasama strategik bersama Salcon akan membolehkan mereka meperkuatkan keupayaan mereka dan meraih peluang untuk memenuhi keperluan sektor bekalan air bersih dan air terawat.

 

"Pengalaman yang dimiliki BISB dalam penyediaan infrastruktur selain kestabilan struktur kewangan digabungkan dengan rekod cemerlang Salcon serta pengalaman mereka di Malaysia serta rantau ini akan memberikan kelebihan untuk kedua-dua syarikat," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

BISB terlibat dengan operasi, penyelenggaraan dan pengurusan loji rawatan air selain bekalan air bersih yang boleh diminum ke kawasan konsesi di Perak dan Kedah, serta luar negara di Indonesia dan China.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SEB, Jamiluddin Amini Sulaiman, berkata, pihaknya sangat teruja dengan jalinan kerjasama itu dan ia dilihat akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

 

"Kami berbangga kerana berpeluang bekerjasama dengan BISB dan ia akan saling melengkapi dalam perniagaan kami.

 

"Ia juga membolehkan kami menggunakan kepakaran serta penyelesaian inovatif untuk pelanggan kami," katanya. - DagangNews.com