Sambutan tahun baharu diganti dengan program Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 - PM | DagangNews Skip to main content

Sambutan tahun baharu diganti dengan program Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membatalkan sambutan tahun baharu dan digantikan dengan program Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 di Masjid Putra, Putrajaya pada malam esok.

 

Beliau berkata, Beliau juga meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bagi menganjurkan program itu sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri.

 

Perdana Menteri juga mengajak Keluarga Malaysia untuk solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra, Putrajaya pada malam tahun baharu 2022, esok.

 

"Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, boleh mengikuti siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah.

 

"Saya juga menyarankan agar masjid-masjid di seluruh negara, terutamanya masjid negeri, menganjurkan majlis yang sama.

 

Perdana Menteri berkata, Keluarga Malaysia yang bukan beragama Islam boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing.

 

Beliau berharap semoga usaha semua rakyat akan mendapat keberkatan dan Malaysia akan menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. - DagangNews.com