KUALA LUMPUR 20 Ogos - Sapura Energy Bhd melupuskan tiga pelantar penggerudian kepada syarikat pembelian tunai berpangkalan di UK pada harga AS$8.2 juta (RM35.14 juta).
Dalam pemfailan di Bursa Malaysia, Sapura Energy berkata tiga anak syarikatnya iaitu Sapura Drilling T-19 Ltd, Sapura Drilling T-20 Ltd dan Sapura Drilling Setia Ltd., telah menandatangani perjanjian untuk menjual pelantar itu kepada NKD Maritime Ltd .
Kumpulan itu berkata pelupusan pelantar itu adalah sebahagian daripada tumpuannya terhadap kemampanan jangka panjang dan menambah baik kedudukan kecairannya, memperkemas model operasinya dan menyediakan lebih fleksibiliti untuk pertumbuhan strategik.
"Pelantar itu sama ada sudah tua atau tidak berdaya saing dari segi teknikal. Berdasarkan permintaan pasaran, syarikat tidak melihat sebarang prospek berdaya maju dari segi kewangan yang boleh menampung pelantar itu diaktifkan semula pada masa hadapan.
"Oleh itu, pelantar mempunyai kebarangkalian tinggi untuk disusun pada tahun-tahun akan datang, yang mendedahkan syarikat kepada lebih banyak kos dan risiko kemerosotan," tambah Sapura Energy.
Hasil daripada jualan itu akan digunakan untuk modal kerja Sapura Energy tertakluk kepada syarat kemudahan pelbagai mata wang, kata kumpulan itu.
Harga saham Sapura Energy ditutup 11.11% atau setengah sen lebih tinggi pada lima sen pada hari Jumaat, menjadikan permodalan pasaran sebanyak RM799 juta. - DagangNews.com