KUALA LUMPUR 29 Sept - Sasbadi Holdings Berhad menerusi Sasbadi Sdn. Bhd. menerima kontrak bernilai RM285,000 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyediakan perkhidmatan menguji tahap penguasaan Bahasa Inggeris guru bahasa tersebut di kementerian itu.
Kontrak itu adalah bagi tempoh 27 September 2023 hingga 26 Disember 2023.
"Kumpulan itu dijangka menyempurnakan kontrak itu mulai suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024 dan sepanjang tempoh kontrak.
Kumpulan itu tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan kontrak itu.
Sebelum ini, Sasbadi berjaya meraih kontrak bernilai RM486,505.60 daripada kementerian sama bagi menyediakan rumusan rumusan digital selaras dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) Tahun 5 bagi sesi persekolahan mulai 2024.
Kontrak adalah untuk tempoh dari 1 September 2023 hingga 31 Ogos 2025. - DagangNews.com