SC bekerjasama dengan penyedia fintech, manfaat RegTech, SupTech tingkatkan kecekapan pasaran modal | DagangNews Skip to main content

SC bekerjasama dengan penyedia fintech, manfaat RegTech, SupTech tingkatkan kecekapan pasaran modal

KUALA LUMPUR 19 Okt - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berminat  bekerjasama dengan pengantara dan penyedia teknologi kewangan (fintech) untuk menggunakan Teknologi Kawal Selia (RegTech) serta Teknologi Penyeliaan (SupTech) bagi meningkatkan kecekapan pasaran modal negara.

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata Malaysia perlu memperhebat usaha bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan di tengah-tengah persekitaran luaran yang mencabar, justeru menyarankan untuk pembiayaan teknologi yang lebih besar dan penyelesaian yang inovatif.

 

Pada masa yang sama, beliau berkata adalah penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur terhadap platform dalam talian dan titik akses pasaran.

 

“Desakan digital ini tidak boleh merugikan integriti pasaran. Inovasi dan teknologi baharu biasanya mengganggu status quo, tetapi ia merupakan alat penting untuk kemajuan.

 

“Dengan kemasukan pemain baharu ke dalam pasaran modal dan industri kita, penggunaan digital adalah satu tanggungjawab yang SC tidak pandang ringan," katanya dalam ucapan yang dirakam lebih awal pada forum Securities Industry Development Corporation Business Foresight 2022, hari ini lapor Bernama.

 

Awang Adek berkata, SC mengharapkan pengantara untuk mengamalkan piawaian akauntabiliti yang tinggi dan mengambil langkah yang sesuai untuk memastikan daya tahan sistem masing-masing.

 

awang
Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin

 

“Pada masa yang sama, SC akan terus memantau aktiviti dan urus niaga pasaran dengan teliti.

 

“Dari sudut pelaporan dan penyeliaan, terdapat banyak peluang untuk meningkatkan penggunaan teknologi,’’ katanya.

 

Selain itu, Awang Adek berkata kumpulan bakat holistik amat diperlukan kerana pasaran modal domestik turut mengalami kekurangan sumber mahir.

 

Sehubungan itu, beliau menambah SC akan memperkenalkan Program Siswazah Pasaran Modal berbilang tahun untuk meningkatkan kebolehpasaran sehingga 9,000 graduan muda Malaysia dalam pasaran modal domestik, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023.

 

“Kumpulan bakat yang menarik akan meningkatkan kesedaran tentang peluang kerjaya industri serta mengukuhkan kemampanan jangka panjang pengantara kita.

 

“Di samping itu, program latihan berstruktur untuk bakat wanita akan dirangka dengan kerjasama Kementerian Kewangan, SC dan pihak berkepentingan pasaran,'' katanya sambil menambah ini akan membantu meningkatkan kepelbagaian dan keterangkuman di semua peringkat organisasi, termasuk lembaga mesyuarat.

 

Beliau turut menggesa lembaga pengarah dan pengurusan untuk ‘mengotakan kata’ dengan mengintegrasikan amalan tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) ke dalam semua aspek perniagaan mereka.

 

“Kegagalan berbuat demikian boleh memberi kesan kepada keuntungan dalam jangka pendek, dan akhirnya akan merugikan kemampanan jangka panjang syarikat," katanya. - DagangNews.com