SC ‘buru’ Uzir Abdul Samad | DagangNews Skip to main content

SC ‘buru’ Uzir Abdul Samad

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memohon maklumat daripada orang ramai untuk mengesan Uzir Abdul Samad (Uzir), juga dikenali sebagai Haji Uzir yang merupakan suspek dalam siasatan suruhanjaya itu berhubung aktiviti nasihat pelaburan tanpa lesen.

 

Menurut SC, Uzir, 49, kini masih bebas dan telah disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh suruhanjaya itu berhubung kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). 

 

Kali terakhir beliau bekerja sebagai Penasihat Richlist Club Boutique bagi Richlist Club Malaysia (PPM-019-14-14042017), jelas SC lanjut. 

 

“SC telah mengambil beberapa langkah, termasuk, meletakkan iklan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengesan Uzir. 

 

“Pada 2016, SC memperoleh waran tangkap terhadap Uzir atas kesalahan di bawah seksyen 58 dan 362(3) CMSA, kerana menjalankan aktiviti yang dikawal selia tanpa lesen, dan menipu pelabur dengan menyamar sebagai ahli Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dan pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL). 

 

“Sekiranya sabit kesalahan, Uzir boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata SC dalam sebuah kenyataan. 

 

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai di mana dia berada atau aktiviti Uzir diminta melaporkan kepada SC dengan menghubungi talian 012-3812497 atau e-mel kepada aduan@seccom.com.my.


Butiran lebih lanjut mengenai Uzir adalah seperti berikut:

 

Nama: Uzir bin Abdul Samad (IC: 720824-01-5543)

 

Alamat pekerjaan dahulu:  UAS Bistari Management Sdn Bhd, No. 11A, Jalan Kebudayaan 1A, Taman Universiti, 81300 Skudai Johor.

 

Alamat kediaman terakhir:

i) Alamat 1: No. 14, Jalan SS 17 / 2A, 47500 Subang Jaya, Selangor

ii) Alamat 2: No. 62, Jalan SS 17 / 2G, 47500 Subang Jaya, Selangor

 

“Menyediakan khidmat nasihat pelaburan merupakan aktiviti yang dikawal selia di bawah CMSA. 

 

“Orang ramai diingatkan agar berwaspada dan membuat pengesahan lesen atau pendaftaran mana-mana individu, syarikat dan platform yang menawarkan perkhidmatan atau produk pasaran modal, sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan. Ini termasuk pemberian nasihat pelaburan. 


"Semakan boleh dibuat melalui laman web SC iaitu di Daftar Awam Pemegang Lesen (Public Register of Licence Holders) www.sc.com.my/licensed-registered-persons dan Senarai Berdaftar Recognized Market Operators, www.sc.com.my/rmo,” tambah SC. - DagangNews.com