SC keluar `Perintah Henti dan Tamat' tawar saham terhadap Quantum Metal Exchange Inc | DagangNews Skip to main content

SC keluar `Perintah Henti dan Tamat' tawar saham terhadap Quantum Metal Exchange Inc

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Mac - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini telah mengarahkan Dato’ Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng, Pengasas dan Pengarah Quantum Metal Exchange Inc (QMEI), untuk segera menghenti dan menamatkan penawaran saham QMEI kepada orang awam.

 

"Tawaran saham QMEI, yang sedang berjalan, melanggar keperluan berkaitan di bawah undang-undang sekuriti," menurut suruhanjaya tersebut dalam kenyataan media hari ini.

 

Arahan henti dan tamat tersebut dikeluarkan berikutan penemuan SC bahawa QMEI menawarkan sahamnya kepada masyrakat awam Malaysia, termasuk melalui laman web/platform Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) kepada ahli QMSB.

 

 

 

 

"Ini dilakukan tanpa mendapatkan pengiktirafan dan mendaftarkan dokumen pendedahan dengan SC, yang melanggar Seksyen 212 (5) Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007.

 

"Oleh yang demikian, SC juga telah meletakkan QMEI dengan butiran berkaitannya pada Senarai Makluman Pelabur SC http://www.sc.com.my/investor-alert," kata SC.

 

Pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menilai tawaran pelaburan.

 

 

Idid

 

 

Orang awam digesa melaporkan kepada SC jika mereka mendapat tawaran produk pasaran modal daripada individu yang mencurigakan dan tidak berlesen, di aduan@seccom.com.my atau hubungi +603-6204 8999. 

 

Tidak benar dakwaan aktiviti Quantum Metal telah diluluskan dan dilesenkan - Bank Negara Malaysia

 

Pengumuman SC ini merupakan satu lagi isu melanda syarikat ini, selepas Januari lalu Bank Negara Malaysia memberi penjelasan beberapa dakwaan salah yang tular termasuk dakwaan mengatakan aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM yang ditegaskan sebagai tidak benar.

 

Menurut BNM, QMSB merupakan institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) kerana berurusan dengan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA.

 

Sebagai sebuah institusi pelapor, QMSB dikehendaki melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti institusi tersebut daripada disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau aktiviti pembiayaan keganasan.

 

"Walau bagaimanapun, dengan status QSMB sebagai institusi pelapor tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaannya, seperti produk dan dagangan emas adalah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM. 

 

"Sebarang dakwaan bahawa aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM, secara langsung atau tidak langsung, adalah tidak benar," kata BNM. - DagangNews.com