KUALA LUMPUR 30 Jun - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan Rangka Kerja Sukuk Berkaitan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) bagi memudah cara pengumpulan dana oleh syarikat dalam menangani kebimbangan berkenaan kelestarian selaras dengan komitmen prestasi kemampanan penerbit.
Rangka Kerja itu merupakan lanjutan kepada inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju SRI yang diperkenalkan pada 2019 untuk meluaskan penawaran produk SRI dan sukuk berkenaan juga membolehkan syarikat dalam industri berkaitan beralih kepada ekonomi rendah karbon atau sifar bersih.
Inisiatif itu juga mencerminkan komitmen SC untuk meluaskan jangkauan Pasaran Modal Islam (ICM) kepada pemegang kepentingan ekonomi yang lebih besar dan membina ekosistem ICM yang menyokong agenda kelestarian.
SC mengakui terdapat peluang besar bagi pasaran untuk menarik minat penerbit dan pelabur untuk melaksanakan pelbagai projek lestari.
Pada 31 Disember 2021, bon lestari global belum tebus telah melebihi AS$1 trilion (RM4.4 tritilion) dengan bon berkaitan kelestarian adalah berjumlah AS$118.8 bilion (RM523.67 bilion).
Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata, Rangka Kerja Sukuk SRI akan menggalakkan mobilisasi yang lebih besar bagi pembiayaan sektor swasta dan penerbit ke arah pembangunan lestari dan bagi memenuhi permintaan global untuk pembiayaan lestari yang semakin meningkat.
"Ia adalah selaras dengan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 3 untuk mengukuhkan cadangan nilai Malaysia sebagai pusat serantau bagi SRI patuh Syariah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menerusi rangka kerja tersebut, hasil yang dikumpulkan boleh digunakan untuk tujuan umum, tertakluk kepada komitmen penerbit terhadap penambahbaikan masa depan untuk hasil kelestarian dalam garis masa yang telah ditetapkan dan akan dipantau berdasarkan kepada petunjuk prestasi utama (KPI).
Struktur kewangan sukuk SRI mungkin berbeza berdasarkan kemampuan atau prestasi penerbit dalam memenuhi KPI dan matlamat kelestariannya.
Maklumat lanjut mengenai keperluan sukuk berkaitan SRI dinyatakan dalam Garis Panduan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Serah dan Simpan dan Garis Panduan Terbitan Bon Korporat dan Sukuk kepada Pelabur Runcit, yang boleh dimuat turun di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines. - DagangNews.com