KUALA LUMPUR 23 Dis - Mahkamah Tinggi mendapati Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berjaya membuktikan tuntutannya dalam saman sivil terhadap bekas Timbalan Pengarah Urusan WCT Berhad (WCT), Goh Chin Liong dan Pengarah Ara Holdings Sdn. Bhd. (Ara Holdings), Leong Ah Chai.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan Chin Liong, 63 dan Ah Chai, 62, masing-masing membayar sejumlah RM2,542,184.70 kepada SC.
"Jumlah itu bersamaan dengan tiga kali ganda kerugian yang dielakkan oleh Ara Holdings melalui Leong akibat daripada dagangan orang dalam tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahkamah Tinggi juga memerintahkan kedua-dua defendan masing-masing membayar penalti sivil sebanyak RM300,000 dan kos RM75,000 setiap seorang kepada SC.
Dalam saman yang difailkan pada tahun 2015, SC mendakwa bahawa Chin Liong dan Ah Chai telah melanggar seksyen 188(2) dan 188(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) apabila Chin Liong menyampaikan maklumat bukan awam yang material kepada Ah Chai.
Ah Chai kemudiannya melupuskan sejumlah 1,640,000 saham WCT dalam akaun dagangan Ara Holdings antara 2 dan 5 Januari 2009 dan ketika kejadian Chin Liong merupakan Timbalan Pengarah Urusan WCT.
Maklumat bukan awam yang material tersebut adalah berkaitan dengan pembatalan kontrak cadangan pembinaan "Lapangan Lumba Kuda Dubai Nad Al Sheba" di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, yang telah dianugerahkan kepada syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh WCT dan Arabtec Construction LLC.
Pada masa kejadian, Ah Chai merupakan Pengarah Ara Holdings, yang merupakan salah satu daripada 30 pemegang saham terbesar dalam WCT. - DagangNews.com