SCIB dapat kontrak EPCC bernilai RM16.28 juta di Johor | DagangNews Skip to main content

SCIB dapat kontrak EPCC bernilai RM16.28 juta di Johor

Gambar hiasan

 

 


KUALA LUMPUR 10 Sept. - Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) memperoleh kontrak bernilai RM16.28 juta menerusi Satria Kasturi (M) Sdn. Bhd.

 

Ia diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Infraworks Sdn. Bhd. yang menerima surat anugerah dan penerimaan (LOA) bagi projek Pembangunan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Pekan Nenas, Pontian, Johor.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, SCIB berkata, kontrak itu membabitkan kerja-kerja bagi kejuruteraan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek tersebut.

 

"Kontrak ini membabitkan tempoh selama 96 minggu bermula 1 Oktober 2021 hingga 4 Ogos 2023. Kontraktor utama projek ini ialah Satria Kasturi," katanya.

 

SCIB menjelaskan, kontrak yang diperoleh itu tidak akan menjejaskan terbitan modal saham dan pegangan saham bagi pemegang saham utama syarikat. 

 

Ia juga dijangka tidak memberi kesan terhadap aset bersih SCIB dan kumpulan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

 

"Sebarang keuntungan yang diagihkan kepada kumpulan akan direalisasikan secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak berdasarkan kemajuan projek.

 

"Pada masa sama, perolehan kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa akan hadapan bagi sepanjang tempoh kontrak," tambahnya. - DagangNews.com