Sebanyak 14.3 juta orang telah divaksin setakat hari ini | DagangNews Skip to main content

Sebanyak 14.3 juta orang telah divaksin setakat hari ini

Vaksin COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Jumlah kumulatif penduduk Malaysia yang sudah menerima vaksin meningkat kepada 14.3 juta setakat semalam.

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, jumlah berkenaan meliputi 9.8 juta penerima vaksin dos pertama dan 4.5 juta penerima vaksin dos kedua.

 

Bagi peratusan populasi penduduk pula, peratusan meningkat kepada 30.1% penerima vaksin dos pertama dan 13.9% bagi mereka yang berjaya melengkapkan dua dos vaksin.

 

.

 

Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak mencatatkan peratusan populasi divaksin tertinggi sebanyak 59.7% dan 55.5%.

 

Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor mencatatkan kadar vaksinasi sebanyak 45.9%.

 

Negeri-negeri lain bagaimanapun masih mencatatkan peratusan vaksinasi di bawah 40% bagi tempoh sama.

 

.

 

Dalam pada itu, JKJAV memberitahu, 41.9% populasi dewasa telah menerima suntikan dos pertama dan 19.4% menerima suntikan dos kedua.

 

Bagi jumlah pemberian dos vaksin semalam, jumlah pemberian dos sedikit menurun kepada 344,961 dos berbanding jumlah tertinggi 460,158 yang direkodkan pada 15 Julai baru-baru ini.

 

Jumlah berkenaan juga adalah lebih rendah berbanding 380,440 yang dicatatkan pada hari sebelumnya.

 

Selangor mencatatkan jumlah pemberian dos vaksin harian yang tinggi sebanyak 70,236 bagi dos pertama dan 21,287 bagi dos kedua.

 

Jumlah berkenaan diikuti Kuala Lumpur sebanyak 40,624 dos pertama dan 24,235 bagi suntikan dos kedua. - DagangNews.com