Sedania Corp diarah bayar RM14.5 juta kepada 2 individu mendakwa memiliki 49% kepentingan Offspring Inc | DagangNews Skip to main content

Sedania Corp diarah bayar RM14.5 juta kepada 2 individu mendakwa memiliki 49% kepentingan Offspring Inc

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Mahkamah Tinggi memerintahkan pemegang saham utama Sedania Innovator Berhad, Sedania Corp Sdn Bhd  membayar pampasan RM14.52 juta kepada dua individu yang mendakwa memiliki 49% kepentingan dalam perniagaan produk penjagaan kesihatan pengguna kumpulan itu.

 

Syarikat terbabit ialah Offspring Inc Sdn Bhd. 

 

Sedania memperoleh 51% Offspring berharga RM15.12 juta daripada Sedania Corp Sdn. Bhd., yang dimiliki oleh pengarah urusan syarikat itu, Datuk Noor Azrin Mohd Noor dan isterinya Datin Noraida Saludin, pada November 2020.

 

Pada pertengahan November 2020, dua individu iaitu Karine Low dan Tan Kien Yeow, menghantar surat tuntutan kepada Sedania, mendakwa bahawa mereka mempunyai 49% kepentingan dalam Offspring melalui perjanjian yang dimeterai dengan Sedania Corp pada 2018.

 

Sedania pada masa ini, masih memiliki 51% kepentingan dalam Offspring, manakala baki 49% kepentingan kekal dengan Sedania Corp.

 

Karine dan Kien Yeow telah memulakan proses timbang tara terhadap Sedania Corp dan Offspring bagi menuntut ganti rugi bagi hak dan kepentingan mereka, tetapi pernyataan tuntutan tidak mendapatkan jumlah tuntutan tertentu, menurut satu makluman Sedania kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Semalam, kumpulan itu berkata, mereka menerima perintah mahkamah untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan anugerah timbang tara kepada Karine dan Kien Yeow termasuk ganti rugi RM14.52 juta.

 

Pada masa sama Sedania Corp dan Offspring juga dikehendaki menanggung kos timbang tara di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia berjumlah RM416,358 dan kos berkaitan perundangan sebanyak RM365,937.

 

Sedania menganggarkan bahawa kesan kewangan terhadap Offspring boleh mencecah RM17.46 juta.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata, Offspring akan memfailkan permohonan untuk mengekalkan atau mengetepikan perintah mahkamah, manakala Sedania Corp akan terus menanggung kerugian daripada sebarang potensi tuntutan.- DagangNews.com