Segmen pinjaman Alliance Bank dijangka semakin stabil menjelang 3Q22 | DagangNews Skip to main content

Segmen pinjaman Alliance Bank dijangka semakin stabil menjelang 3Q22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Segmen pinjaman Alliance Bank Malaysia (ABMB) dijangka stabil menjelang suku ketiga 2022 (3Q22) selepas didorong oleh pembukaan semula kebanyakan sektor ekonomi.

 

AmInvestment Bank Berhad (AmInvest) berkata, menerusi perkembangan itu, permintaan terhadap bantuan pinjaman dalam kalangan peminjam baharu akan berkurangan iaitu pada suku kedua 2022 (2Q22) dengan nilai RM21 juta berbanding RM65.3 juta pada suku pertama (1Q22).

 

"Pada 3Q22, kami menjangkakan segmen pinjaman utama seperti pinjaman perumahan, komersial dan korporat akan stabil walaupun masih ada peminjam berada di dalam skim bantuan pinjaman di bawah Pemulih (Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi).

 

"Permohonan baharu untuk bantuan kewangan pengguna dan pinjaman SME (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) juga mencatatkan penurunan berbanding Julai 2021 ketika moratorium di bawah Pemulih diperkenalkan.

 

"Pada pertengahan Disemberi 2021, jumlah bantuan kewangan kepada peminjam kekal pada RM14.8 bilion dan dijangka menurun kepada RM14.7 bilion pada 2Q22," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Sementara itu, AmInvestment mengekalkan saranan 'Beli' untuk saham-saham ABMB pada harga RM3.80 sesaham berdasarkan unjuran 9.7% pulangan ekuiti (ROE) pada tahun kewangan 2023 (FY23)

 

Firma itu memberi sokongan terhadap saham berkenaan kerana nilai yang menarik, kualiti aset kumpulan yang dijangka semakin baik pada masa akan datang dan pembayaran dividen lebih baik berdasarkan pertambahan pendapatan.- DagangNews.com