Segmen pusat data pacu pertumbuhan hasil jangka panjang TIME - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Segmen pusat data pacu pertumbuhan hasil jangka panjang TIME - Maybank IB

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 20 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan segmen pusat data akan menjadi pemacu pertumbuhan hasil jangka panjang bagi TIME dotCom.

 

Dalam nota penyelidikannya, Maybank IB berkata, susulan pembelian Bangunan KWSP oleh TIME dengan nilai RM62 juta baru-baru ini, pihaknya  menjangkakan syarikat telekomunikasi berkenaan akan menggunakan semula bangunan pejabat itu menjadi pusat data. 

 

"Bangunan yang diperoleh itu terletak hanya satu blok dari Menara AIMS, pusat data utama dan diduduki sepenuhnya TIME dan dengan itu akan menikmati tarikan lokasi yang sama.

 

"Ia juga mudah dari segi logistik, dari segi operasi dan infrastruktur. Butiran seperti kapasiti masih kurang buat masa ini, tetapi kami menjangkakan penambahan modal sebanyak beberapa ratus juta dalam beberapa tahun akan datang," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Sebelum ini TIME dilaporkan membeli bangunan pejabat pegangan bebas 13 tingkat bersama 95 ruang tempat letak kereta yang dikenali sebagai Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Changkat Raja Chulan pada harga tunai RM62 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TIME berkata, pembelian itu akan dibuat melalui anak syarikat milik penuhnya AIMS Data Centre Sdn Bhd (ADC) dan ADC telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan KWSP untuk cadangan pemerolehan itu. Cadangan pembelian itu akan membolehkan TIME mengembangkan kemudahan operasinya.  

 

"TIME telah memulakan fasa kedua pusat data di Cyberjaya pada akhir 2021 dan pengurusan menyatakan sebelum ini bahawa pertanyaan untuk fasa pertama yang telah siap telah mengatasi bekalan. 

 

"Kami menjangkakan sumbangan hasil yang bermakna daripada kemudahan Cyberjaya kedua pada 2022. 

 

"Pusat data ini mampu memberikan skala 50MW, dan dengan itu terdapat skop yang mencukupi untuk pertumbuhan selanjutnya.

 

"Ramalan pendapatan dan harga sasaran kami tidak berubah pada RM4.60," kata Maybank IB. -DagangNews.com