Sejumlah 11 projek pengangkutan, logistik baharu diperkenalkan - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Sejumlah 11 projek pengangkutan, logistik baharu diperkenalkan - PM Anwar

Kerajaan akan menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara mampan.

KUALA LUMPUR 11 Sept - Sejumlah 11 projek pengangkutan dan logistik baharu diperkenalkan bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara yang mampan dan berdaya tahan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

 

Projek-projek berkenaan merangkumi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B; Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang; perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS)  dan naik taraf Lebuhraya Timur-Barat dari Gerik, Perak ke Jeli,Kelantan.

 

Beliau berkata, antara projek lain termasuk perluasan perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) dan bas dalam bandar termasuk di Johor Bahru dan Lembah Klang dan menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru.

 

Selain itu ia juga merangkumi pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (dari Yong Peng ke Senai Utara) secara berfasa; pembinaan Sarawak-Sabah Link Road II dan naik taraf jalan dari Tanah Rata ke Kea Farm, Cameron Highlands.

 

“Selain itu, pembangunan pelabuhan baharu di Pulau Carey dijangka dapat mengukuhkan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan kapal serantau.

 

“Kerajaan juga akan menambah baik kerja-kerja penyenggaraan infrastruktur pengangkutan bagi memanjangkan jangka hayat jalan raya, aset rel dan peralatan navigasi udara,” katanya sewaktu membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025 di Parlimen hari ini, lapor Bernama.

 

Perdana Menteri berkata, jangkaan utama pengukuhan rangkaian pengangkutan awam adalah untuk menyediakan akses dan kesalinghubungan yang lebih baik kepada semua.

 

Katanya, ia juga bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih cekap, boleh dipercayai, berpatutan dan selamat. - DagangNews.com