Sektor borong, runcit Malaysia catat jualan tertinggi sejak 2013 pada Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

Sektor borong, runcit Malaysia catat jualan tertinggi sejak 2013 pada Mei 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Julai - Walaupun banyak pihak menyuarakan mengenai kenaikan harga barang dan kos sara hidup akibat inflasi namun sektor borong dan runcit Malaysia tetap mencatatkan jualan tertinggi sejak 2013 pada Mei 2022.

 

Statistik terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jualan perdagangan borong dan runcit negara mencatatkan rekod baharu pada Mei 2022 dengan pertumbuhan 19.9% tahun ke tahun untuk mencatatkan RM129.8 bilion.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan perdagangan borong dan runcit pada Mei disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM13.0 bilion atau 29.9% kepada RM56.3 bilion.

 

“Perdagangan borong juga berkembang dengan 11.7% atau RM6.3 bilion kepada RM59.6 bilion,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia Mei 2022, hari ini.

 

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor menokok 20.1% atau RM2.3 bilion kepada RM13.9 bilion.

 

“Secara umumnya, peningkatan keseluruhan RM21.5 bilion atau 19.9% dalam perdagangan borong dan runcit didorong oleh penarikan semula sekatan pergerakan yang dikenakan semasa pandemik COVID-19 yang membolehkan sambutan Aidilfitri diraikan dengan meriah dan istimewa di seluruh negara,” katanya.

 

Mohd. Uzir berkata, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 1.4% disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit 5.1%.

 

dosm

 

Prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 29.9% pada Mei 2022 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 36.3% atau RM5.5 bilion kepada RM20.7 bilion, katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan sebanyak 30.8% ; jualan runcit bahan api kenderaan (54.6%); jualan runcit barangan isi rumah (23.7%); jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (21.4%); jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (20.1%), jualan runcit peralatan informasi dan komunikasi (8.0%); jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (27.0%) serta jualan runcit di gerai dan pasar (24.0%).

 

Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, Mohd. Uzir berkata, kenaikan 11.7% disumbangkan oleh jualan borong barangan isi rumah dengan peningkatan 22.1% atau RM2.2 bilion kepada RM11.9 bilion.

 

“Antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah lain-lain pengkhususan jualan borong (8.8%); jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (17.7%); jualan borong makanan, minuman dan tembakau (7.4%) serta jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (10.1%).

 

“Kumpulan lain yang menyumbang ialah jualan borong berdasarkan kontrak atau yuran (12.0%); dan perdagangan borong tanpa pengkhususan (3.8%),” katanya.

 

Beliau berkata, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong meningkat 0.9%, peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan dalam jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup serta jualan borong jentera, peralatan dan bekalan masing-masing sebanyak 4.0% dan 2.0%.

 

Beliau berkata, pertumbuhan 20.1% dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini disumbangkan oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor yang meningkat 34.3% atau RM1.0 bilion kepada RM3.8 bilion.

 

Ini diikuti oleh jualan kenderaan bermotor; penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor; serta jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal masingmasing sebanyak 9.3%, 37.4% dan 23.2%. - DagangNews.com