Sektor pembungkusan plastik dijangka catat peningkatan tempahan pada suku akan datang, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Sektor pembungkusan plastik dijangka catat peningkatan tempahan pada suku akan datang, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - Kenanga Research menjangkakan sektor pembungkusan plastik mencatatkan peningkatan dari segi tempahan pada suku akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan disebabkan pelanggan membuat keputusan untuk menambah investori mereka selain menyimpan stok dengan jangkaan kenaikan harga kesan daripada aliran menaik harga resin dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

 

"Kami percaya pemulihan yang lebih mampan masih bergantung pada prospek ekonomi global yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Katanya, pemain industri dalam sektor itu berdepan cabaran dari segi kos tenaga kerana kerjaaan mengambil keputusan mengurangkan subsidi bahan api kepada industri.

 

Kesan kenaikan tarif elektrik pada Januari 2023 menjadi lebih ketara pada akhir tahun kepada BP Plastic (market perform; TP: RM1.23), Scientex (under perform; TP: RM3.23) dan Thong Guan apabila mereka memilih keluar daripada Green Program Tarif Elektrik (GET) pada Ogos 2023, berikutan semakan naik kadar GET kepada 21.8 sen/kWj (daripada 3.7 sen/kWj).

 

Mereka kini tertakluk kepada surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) biasa sebanyak 17.0 sen/kWj.

 

"Bagi mengurangkan kos elektrik yang lebih tinggi, mereka melabur dalam sistem solar fotovoltaik (PV) kepada bekalan elektrik separa, yang juga akan mengurangkan jejak karbon mereka," katanya.

 

Kenanga Research berkata, pemain industri tempatan memilih mengeluarkan bahan pembungkusan yang mampan bagi menyuokong permintaan yang semakin meningkat untuk rumusan pembungkusan yang boleh dikitar semula.

 

Katanya, ia termasuk menghasilkan bahan yang lebih nipis tanpa menjejaskan prestasi produk, dengan itu mengurangkan jumlah bahan mentah yang diperlukan selain menggunakan filem mono yang boleh dikitar semula dan mengurangkan sisa dengan menggunakan semula sisa semasa pengeluaran.

 

"Peralihan kepada bahan pembungkusan mampan ini telah mendapat tarikan dalam kalangan syarikat multinasional dan pemilik jenama, terutamanya dengan pengeluar plastik Eropah yang menyokong sasaran kandungan kitar semula EU mandatori sebanyak 30% untuk pembungkusan plastik menjelang 2030," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com