Sektor perbankan Asia Pasifik dijangka isytihar dividen RM922 bilion untuk FY22 | DagangNews Skip to main content

Sektor perbankan Asia Pasifik dijangka isytihar dividen RM922 bilion untuk FY22

KUALA LUMPUR 4 Julai - S&P Global Market Intelligence mengunjurkan pembayaran dividen agregat bagi sektor perbankan Asia-Pasifik akan tumbuh pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 7% tahun ke tahun bagi tahun fiskal 2022 kepada AS$209 bilion (RM921.7 bilion). 

 

Ramalan pertumbuhan terendah berbanding pertumbuhan 14.7% pada tahun kewangan 2021 adalah berikutan cabaran ekonomi di seluruh dunia seperti inflasi tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang rendah.

 

Firma penyelidikan itu juga berkata, dasar ekonomi di Asia-Pasifik adalah berubah-ubah, dengan China dan Jepun terus mengekalkan kelonggaran dasarnya, manakala pasaran lain mengetatkan dasar monetari masing-masing.

 

Keadaan ini memberikan implikasi yang berbeza berhubung unjurannya terhadap sektor perbankan tersebut, katanya.

 

“Kadar pertumbuhan dividen bank-bank di China, penyumbang pembayaran agregat terbesar di Asia-Pasifik, dijangka perlahan pada tahun kewangan 2022 berikutan bank berdepan permintaan pinjaman yang berkurangan serta tekanan mengenai keuntungan susulan dasar sifar COVID-19.

 

“Purata pertumbuhan dividen bagi empat bank utama termasuk  Industrial and Commercial Bank of China, Agricultural Bank of China, Bank of China and China Construction Bank, dijangka pada 6.4% bagi tahun kewangan 2022, berbanding 11.5% bagi tahun kewangan 2021,” katanya, lapor Bernama.

 

Dalam pada itu, menurut firma penyelidikan berkenaan, bank-bank di Malaysia, Australia, Korea Selatan dan India menikmati pertumbuhan yang memberangsangkan dari segi pinjaman korporat berikutan keadaan perniagaan yang semakin baik.

Katanya, kesan positif itu dijangka dikukuhkan lagi dengan margin kadar faedah yang lebih luas daripada kenaikan kadar faedah.

“Walaupun bank dijangka menerima manfaat daripada kesan kadar faedah yang lebih tinggi, kami melihat laluan pertumbuhan yang berbeza meskipun dalam
pasaran yang sama, disebabkan daya saing yang berlainan di pasaran pinjaman, kemampuan kawalan kos dan campuran aset.

“Sebagai contoh, pertumbuhan pembayaran dividen membabitkan tiga bank utama di Singapura dijangka pada sekitar 9% hingga 20% tahun ke tahun,” katanya. - DagangNews.com