Sektor teknologi diunjur berkembang secara berterusan disokong insentif kerajaan - HLIB | DagangNews Skip to main content

Sektor teknologi diunjur berkembang secara berterusan disokong insentif kerajaan - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan sektor teknologi mengalami perkembangan pendapatan secara berterusan disokong oleh permintaan eksponen asas selain disokong insentif kerajaan.

 

Firma itu berkata, sejak 12 bulan lalu sejumlah RM52 bilion pelaburan semikonduktor diumumkan dengan sasaran mewujudkan 11,000 pekerjaan.

 

Katanya, Malaysia kekal sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global dengan 7% daripada jumlah aliran dagangan semikonduktor global melalui negara ini dan ia menguasai 13% ujian cip global serta bahagian pasaran pembungkusan.

 

"Sektor elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekport Malaysia.

 

"Memandangkan pelaksanaan Cukai Minimum Global (15%), Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) bekerjasama dengan kerajaan untuk menambah baik insentif bukan kewangan (seperti automasi, bakat, rantaian bekalan dan R&D) sebagai usaha menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam industri ini.

 

"Kami memihak kepada negara-negara yang ingin membangunkan keupayaan semikonduktor mereka terutamanya dalam fabrikasi bahagian hadapan demi kepentingan strategik dan keselamatan negara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sektor itu akan berdepan pelbagai cabaran ekonomi termasuk inflasi, kemelesetan ekonomi global dan ketegangan antara Taiwan- Amerika Syarikat (AS) dan China, permintaan produk pengguna selain gangguan rantaian bekalan kesan pelbagai perkara.

 

Katanya, pada masa sama sektor itu juga turut berdepan kekurangan tenaga pekerja dan bakat.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' untuk Frontken Corp. Berhad dengan harga sasaran (TP) RM3.20 dan 'beli' untuk UWC Berhad dengan TP RM4.38," katanya - DagangNews.com