KUALA LUMPUR 7 Sept - Kenanga Research kekal positif terhadap prospek sektor telekomunikasi berdasarkan pertambahan permintaan daripada pengguna selain perniagaan domestik dan antarbangsa.
Firma itu berkata, permintaan untuk jalur lebar mudah alih tempatan akan disokong dengan liputan yang lebih luas pada penghujung Fasa 1 Inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), lebih 96% kawasan berpenduduk memiliki akses 4G (92% sebelum Fasa 1 Inisiatif Jendela) dan purata kelajuan jalur lebar mudah alih meningkat kepada 40.1 Mbps (35 Mbps pada mulanya).
"Pelancaran 5G akan meningkatkan lagi permintaan dengan pemain seperti Axiata dan OCK mendapat manfaat daripada pembinaan dan optik di lebih 3,500 menara di bawah Fasa 1 pelancaran 5G," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, pembukaan semula ekonomi menyaksikan peningkatan permintaan berterusan untuk telekomunikasi apabila pengguna bergerak ke hadapan.
Syarikat telekomunikasi secara keseluruhannya mencatatkan pertumbuhan membanggakan pada 1HCY22 dengan kenaikan 5% dari tahun ke tahun dengan keuntungan teras bersih (CNP) berakhir lebih tinggi 6% dari tahun ke tahun.
Axiata menyaksikan peningkatan sebanyak 6% pada prestasi keseluruhan yang kukuh daripada syarikat operasinya kecuali Dialog (Sri Lanka) dan Ncell (Nepal) tetapi pendapatan melonjak 35% hasil sumbangan kukuh daripada Celcom, edoctco dan Smart (Kemboja).
"Hanya Digi dan Maxis mencatatkan penurunan pendapatan pada 1HCY22 dengan masing-masing merosot 17% dan 12%.
"Langganan Axiata dirangsang oleh pertambahan dua digit oleh Dialog dengan Celcom yang masuk pada 3% dari tahun ke tahun.
"Langganan tempatan diterajui oleh TM yang menyaksikan pertumbuhan 19% dari tahun ke tahun kesan daripada hasil promosi yang kukuh dan perancangan perkhidmatan 5G atau perkhidmatan jalur lebar," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor telekomunikasi selepas pasaran telah menetapkan harga untuk model 5G yang dilihat tidak berpihak kepada pengendali telekomunikasi. - DagangNews.com