Sempena Hari Wartawan - mengenang matinya Utusan pada 2019 | DagangNews Skip to main content

Sempena Hari Wartawan - mengenang matinya Utusan pada 2019

Terbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939 dalam tulisan Jawi sebelum berubah ke tulisan rumi dan tamat riwayatnya pada 9 Oktober 2019.

 

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

MUNGKIN ada yang sudah tahu kolum MERREPAK ini, dibawa dari akhbar Mingguan Malaysia yang telah bermula tahun 2009 hingga syarikat Utusan Melayu (M) Berhad gulung tikar pada 9 Oktober 2019.

 

Ada yang bertanya, bolehkah `ambil sahaja’? Kalau tinggalkan pun, tiada siapa akan mengambil alihnya kerana dalam sedekad kewujudan singkatnya, kolum ini telah berkembang daripada mengulas hal ehwal luar negara menjadi ruangan pojok atau Opinion Editorial secara totok. Penulis lain ada sudi ulas pasal Liverpool?

 

Ada beberapa kolum yang diperkenalkan ketika menjadi Editor Meja Ekonomi terus dikekalkan oleh editornya sekarang. Editor itu merupakan penolong editor kita dahulu, jadi ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke mee kolok. #Kipidap

 

Bagi anda yang tidak mengikuti sangat perkembangan industri media, ini sejarah ringkas kejadian menimpa Utusan Malaysia. Akhbar yang dilahir di Singapura pada 1939 menemui ajalnya pada 2019 di tangan pentadbir yang mendukacitakan. Merrepak antara editor yang lama dengan institusi tersebut iaitu 25 tahun dengan jawatan terakhir sebagai Pengarang Kanan Berita yang kemudian diselaraskan menjadi Editor Eksekutif.

 

Beberapa faktor diketahui menjadi punca syarikat gulung tikar seperti kekalahan UMNO semasa pilihan raya umum 2018. UMNO merupakan pemilik syarikat. Akibat kalah dan serangan bertubi-tubi ke atas peneraju parti, hal ehwal aset parti diserahkan kepada individu tertentu.

 

Yang dapat individu bagus, bertahanlah entiti itu sehingga kini. Yang tidak, jadilah seperti Utusan Melayu (M) Berhad. Pada 2018, kira-kira 800 warga Utusan menerima tawaran VSS oleh pentadbir yang diamanahkan oleh parti. Tapi mereka tidak menerima pampasan VSS sekali gus. Beransur-ansur. Akhirnya, sampai sekarang, masih tidak menerima sepenuhnya. Ada yang sudah meninggal dunia pun.

 

Pada 2019, saki-baki 50% warga Utusan bertungkus-lumus cuba melanjutkan nyawa akhbar. Pada pertengahan tahun itu juga, edaran akhbar berjaya dipertahankan pada kadar kira-kira 40,000 naskah sebulan. Tidak teruk sebab khabarnya angka edaran akhbar hari ini pun berada di sekitar itu. Betul?

 

Pada 9 Oktober 2019, setelah seminggu mendengar khabar-khabar berkitaran, akhirnya kami menerima surat pengesahan daripada Pengurus Kanan Sumber Manusia bahawa syarikat ditutup berkuatkuasa serta-merta.

 

Bagi saki-baki warga Utusan yang bekerja gigih sehingga ke detik terakhir riwayat Utusan Malaysia serta selama tiga bulan tidak menerima gaji, berita itu amat amat menghancurkan perasaan.

 

Tetapi penutupan Utusan tidak eksklusif kerana sebilangan lagi akhbar di banyak negara di dunia turut mengalami perubahan serupa. Hakikat ini kami terima dan menyedari bahawa kerajaan Pakatan Harapan ketika itu, sudah meraikan kematian sebuah institusi Melayu.

 

Dan kemudian sebuah kumpulan media baru yang mengambil alih Media Prima telah mengambil lesen penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!

 

Pada hari pertama perhimpunan wartawan yang ada diserap dari akhbar asal, peneraju editorial telah memberi hala tuju baharu iaitu tiada lagi semangat Melayu jadi teras kepada pemberitaan kedua-dua akhbar itu. Benda ini disampaikan kepada saya daripada bekas wartawan yang pernah bekerja dengan saya. Mereka mesra dengan saya sehingga kini.

 

Tidak salah peneraju Utusan Malaysia mengubah pendirian editorial mereka, tetapi mengapa sibuk hendak guna jenama Utusan Malaysia? Utusan Malaysia beranak di Singapura untuk menjadi suara Melayu dan terus memainkan peranannya dengan berani sehingga Oktober 2019.

 

Dan bukankah jenama ini dikaitkan dengan perkauman? Disebabkan akhbar ini membela orang Melayu maka dilabel perkauman? Bab tuduhan membela ahli politik bermasalah, yang ini boleh dihuraikan secara ilmiah di forum khusus, ya.

 

Dalam erti kata lain, peneraju Utusan Malaysia sedia ada, sudah terpisah daripada DNA asal kelahirannya pada 1939. Maka wajarlah akhbar itu ditukar ke jenama lain, bagi menggambarkan hasrat sebenar dan matlamat komersial pemiliknya sekarang.

 

Bagi kami bekas warga Utusan Malaysia 1939, akhbar yang asli ini sudah tamat pada 9 Oktober 2019.

 

Apakah kita masih berdendam dan belum `move on’?

Kita tidak pernah berdendam. Kejadian yang berlaku pada 2019 diterima dengan reda dan tawaduk. Lagi pun, pada usia-usia emas ini kita mahu ketenangan dan boleh kayuh basikal petang-petang (kecuali masa PKP ini).

 

Tidak juga kita cemburu akhbar Utusan Malaysia dilahirkan semula dengan barisan editor berlainan. Tidak sama sekali. Malah kita doakan kejayaan mereka.

 

Kita juga sudah `move on’ dan melancarkan portal berita ekonomi DagangNews.com yang ditetapkan tidak boleh menyiarkan artikel politik, berbaur politik atau boleh dipolitikkan. Kita belajar dari pengalaman yang sangat mahal pengajarannya. Portal ini baru setahun, merangkak bayi semula. Kita move on. Kita akan cuba jayakan portal ini.

 

Cuma benda yang diulas di atas adalah berkait soal prinsip. Jati diri akhbar Utusan Malaysia selama 80 tahun tidak dipelihara, malah diperlekehkan. Inilah sebab disarankan, elok tukar ke jenama lain sahaja supaya lebih afdal dengan pendirian komersial editorial pemilik baru sekarang ini. Itu saja.

 

Dan sempena `sambutan' Hari Wartawan 29 Mei 2021, ingatlah, ada lebih 1,600 bekas warga Utusan masih menanti pampasan VSS dan pemberhentian kerja. Jangan buat-buat tidak tahu. Susah besar jadinya bila banyak menuntut di Padang Mahsyar nanti. - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Hikayat Penuh Ranjau oleh Wings berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.