Sepasang suami isteri miliki 3 perniagaan selepas buat pinjaman lebih RM1 juta daripada AIM | DagangNews Skip to main content

Sepasang suami isteri miliki 3 perniagaan selepas buat pinjaman lebih RM1 juta daripada AIM

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

PASIR PUTEH 7 Nov - Pada 13 tahun lalu, sepasang suami isteri dari Kampung Jalor mulakan perniagaan kecil-kecilan dengan modal RM2,000 yang dipinjam daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan kini berjaya mengusahakan tiga perniagaan berbeza.

 

Normala Mohamad, 38, dan suaminya, Daus Awang, 60, kini mengusahakan perniagaan menjual alat ganti kenderaan terpakai dan baharu, kedai runcit serta kedai makan.

 

Katanya, untuk mengembangkan lagi perniagaan dia juga membuka kedai runcit sejak lima tahun lalu sebelum membuka kedai makan berdekatan rumah.

 

“Sehingga kini sudah 42 kali saya membuat pinjaman dengan AIM membabitkan nilai lebih RM1 juta. Saya bersyukur kerana tanpa AIM, tiadalah kami seperti hari ini.

 

“AIM banyak memudahkan saya kerana bila sebut duit, siapa yang mahu meminjam wang kepada kita. Dengan orang lain nak dapatkan RM50 pun susah, alhamdulillah dengan AIM hanya ambil masa dua minggu untuk mendapatkan pinjaman,” katanya.

 

aim

 

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, segalanya bermula selepas suaminya yang bekerja sebagai penarik kereta sebelum mereka terbabit dalam penjualan kereta terpakai.

 

Beliau berkata, dalam bidang perniagaan kereta terpakai, banyak pihak membeli secara hutang dan ramai tidak melunaskan bayaran sehingga dia terlibat dengan bidang perniagaan kereta potong.

 

aim

 

“Ketika itu untuk  saya dapatkan modal agak sukar sehinggalah saya meminta bantuan dengan AIM sebanyak RM2,000.

 

aim

 

“Bermula dengan modal itulah saya mengusakan perniagaan kereta potong secara kecil-kecilan sehinggalah berjaya sehingga hari ini,” katanya.

 

Menceritakan pahit getir mengusahakan perniagaan kereta potong, Normala berkata, setiap perniagaan semestinya ada cabarannya dan dia juga begitu.

 

“Untuk perniagaan kereta potong, selain membabitkan modal yang besar, semestinya persaingan menjadi cabaran utama kerana bukan saya sahaja yang membuka premis seperti itu.

 

aim

 

"Kini saya memiliki lima orang pekerja di bengkel kereta potong yang diberi nama Djmas Resources.

 

“Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan dan berterima kasih kepada AIM. Hasil perniagaan ini juga saya dapat membeli tanah serta membina rumah,” katanya. - DagangNews.com