September 2020: Rizab BNM AS$104.98 juta | DagangNews Skip to main content

September 2020: Rizab BNM AS$104.98 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Aset rizab rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$104,981 juta, manakala aset mata wang asing lain bernilai AS$1,172.6 juta pada akhir bulan September 2020. 

BNM berkata, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang berjumlah RM8,905 juta. 

Aliran keluar jangka pendek itu termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM. 

“Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$7,208.4 juta manakala jumlah kedudukan hadapan panjang ialah sebanyak AS$1,140 juta pada akhir bulan September 2020, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang. 

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. 

“Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2,447.8 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang. Satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$277.1 juta,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini. 

Tambah BNM, rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

“Mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi erajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan September 2020 tetap boleh guna,” jelas BNM. - DagangNews.com