Serba Dinamik: pelantikan firma perakaunan kini di peringkat akhir | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik: pelantikan firma perakaunan kini di peringkat akhir

Pengerusi Serba Dinamik Holdings Berhad, Dato' Ilyas Pakeer Mohamed
 

SHAH ALAM 30 Jun - Pengerusi Serba Dinamik Holdings Berhad, Dato' Ilyas Pakeer Mohamed memberi komitmen bahawa pelantikan firma perakaunan seperti dikehendaki Bursa Malaysia Securities kini di peringkat akhir.

 

“Ya, kini di peringkat akhir,” kata beliau ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Mengenai penggantian keanggotaan Lembaga Pengarah, Ilyas Mohamed berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa calon untuk dilantik.

 

“Ini begitu penting demi memastikan tadbir urus korporat akan terjamin dan Lembaga Pengarah dapat berfungsi sepenuhnya demi menjaga kepentingan pihak berkepentingan,” ujarnya.

 

Beliau diminta mengulas mengenai arahan Bursa Malaysia supaya Serba Dinamik melantik satu firma perakaunan antarabangsa atau firma berkaitan dengan gabungan antarabangsa yang mempunyai sumber mencukupi bagi menjalankan semakan semula bebas menjelang 2 Julai, 2021, bagi menangani kebimbangan dibangkitkan oleh KPMG PLT dalam pembentangan kepada pihak lembaga pada 3 Mei 2021.

 

Bursa juga menetapkan agar syarikat memastikan bahawa firma itu atau sekutunya yang dilantik, “wujud di Bahrain dan lokasi antarabangsa lain dengan kehadiran pelanggan serta pembekal sepertimana dibangkitkan oleh KPMG PLT pada 3 Mei 2021.”

 

Bursa Malaysia turut memaklumkan Serba Dinamik untuk “memastikan skop semakan semula khas bebas itu adalah sebagaimana yang dipersetujui oleh jawatankuasa audit syarikat itu dan Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y) yang turut dikongsi dengan pihak Bursa Malaysia Securities pada 15 Jun 2021.”

 

Serba Dinamik turut disyaratkan untuk membuat laporan terus kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia secara berkala mengenai perkembangan semakan itu serta hasil dapatannya apabila selesai kelak.

 

Sebelum arahan Bursa Malaysia itu, Serba Dinamik telah mengumumkan dan mengesahkan persetujuan EY menjadi penilai bebas yang tertakluk kepada syarat, terutamanya melibatkan keperluan kerjasama KPMG PLT bagi kemudahan serta kelancaran semakan semula tersebut.

 

Semalam, Serba Dinamik menerusi kenyataannya kepada bursa, berkata EY telah menerima pelantikan tersebut jika KPMG yang juga bekas juruaudit luar syarikat itu, dapat menyerahkan beberapa dokumen penting.

 

Serba Dinamik juga telah bersetuju dengan syarat ditetapkan EY bagi memastikan sesi libat urus terbabit dapat dijalankan secara bebas serta objektif demi manfaat semua pihak berkepentingan. - DagangNews.com