Sheng Tai terokai industri pembuatan sarung tangan nitril RM38.7 bilion | DagangNews Skip to main content

Sheng Tai terokai industri pembuatan sarung tangan nitril RM38.7 bilion

Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (atas kanan) menyaksikan majlis memeterai perjanjian secara maya antara Dato' Leong Sir Ley (atas kiri) dengan Datuk Seri Justin Lim yang menunjukkan dokumen masing-masing, hari ini.

 

SHAH ALAM 11 Jun – Dalam usaha yang berterusan untuk meletakkan Malaysia, terutamanya Melaka dipersada dunia, pemaju hartanah yang memenangi anugerah dan pakar pelancongan hartanah, Sheng Tai International Sdn. Bhd. memeterai satu lagi Memorandum Perjanjian (MoA) yang eksklusif dengan pengeluar utama sarung tangan getah dan nitril Malaysia, KenTeam International Sdn. Bhd. (KenTeam).

 

Perjanjian ini adalah bagi Sheng Tai International mengambil alih 110 barisan pengeluaran daripada Hab Sarung Tangan KenTeam seluas 36.42 hektar di Jasin, Melaka. Hab Sarung Tangan tersebut, di mana Sheng Tai International telah dilantik untuk mereka cipta, memasang dan membina, dijangka siap menjelang Disember 2021.

 

Apabila siap nanti, kapasiti pengeluaran yang dijangkakan bagi setiap satu barisan pengeluaran adalah 3 juta kotak setahun; oleh itu jumlah keseluruhan kapasiti pengeluaran bagi kesemua 110 barisan pengeluaran ialah 330 juta kotak setahun.

 

Pada majlis menandatangan perjanjian yang berlangsung secara maya antara Dato' Leong Sir Ley, Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International dan Datuk Seri Justin Lim, Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam, diadakan bagi merasmikan perkongsian eksklusif ini. Majlis bersejarah itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

 

Leong, Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International berkata, "perkongsian ini merupakan pencapaian besar bagi kami di Sheng Tai International."

 

"Ia memberikan pintu masuk bagi Sheng Tai International ke dalam industri pembuatan sarung tangan nitril yang pesat tumbuh disebabkan COVID-19 dan jangkaitan-njangkitan penyakit lain,” katanya.

 

Sementara itu, Justin Lim berkata, projek tersebut dijangka membuka peluang sebanyak 7,500 peluang pekerjaan yang diharap akan diambil oleh rakyat tempatan, lebih-lebih lagi kesukaran mengambil pekerja asing pada masa ini.

 

Menurut laporan Kajian Precedence bertajuk 'Nitrile Gloves Market Size, Share, Growth Outlook, Trends, Analysis, Segment Forecasts, Regional Insights and Forecast 2020-2027', industri sarung tangan nitril diunjurkan mencecah RM38.7 bilion (As$9.41 bilion) menjelang tahun 2027, dengan kadar pertumbuhan kompaun tahunan (CAGR) sebanyak 13.8% dari tempoh 2020 hingga 2027.

 

Leong menjangka permintaan bagi sarung tangan nitril akan terus tumbuh pasca COVID-19. “Peningkatan besar penyakit kronik, selain pertambahan kesedaran terhadap perlindungan kesihatan terutama dalam kalangan generasi emas, akan terus mencetuskan permintaan bagi sarung tangan nitril.” 

 

Beliau berkata, pihaknya percaya kemasukan syarikat ke dalam industri sarung tangan nitril bukan sahaja akan membawa perolehan positif kepada Sheng Tai International tetapi juga mengukuhkan komitmen syarikat untuk menjaga kesejahteraan negara, terutama Melaka, ekonomi dan kesihatan.

 

"Bergerak ke hadapan, Sheng Tai International akan terus bekerja bersama Kerajaan negeri dan rakan-rakan niaga seperti KenTeam untuk menarik lebih ramai pelabur ke Melaka, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan komuniti di sekitar, terutama semasa waktu penuh mencabar ini,” kata beliau.

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sheng Tai International telah membawa pelbagai jenama antarabangsa seperti IWG, Memorigin dan FashionTV untuk melabur di Melaka menerusi mercu tanda mereka – Metrasquare dan The Sail.

 

Fasa 1 bagi The Sail akan siap pada tahun ini, menjadikannya pasangan terbaik bagi jenama antarabangsa untuk menikmati peluang perniagaan yang tersedia dalam pengembangan dan juga M-Wez.

 

Baru-baru ini, Sheng Tai International juga telah mengumumkan rancangannya untuk menjadikan The Sail Melaka Fasa 2 dan 3 sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa dan mungkin pusat bebas cukai

 

Sebagai rakan kepada KenTeam International, Sheng Tai International mempelawa rakyat Malaysia untuk menjalin kolaborasi atau mengambil barisan pengeluaran daripada Hab Sarung Tangan Jasin tersebut. - DagangNews.com