Siasatan awam bermula hari ini, kaji semula standard mandatori pancaran medan elektromagnet infrastruktur komunikasi radio - MCMC | DagangNews Skip to main content

Siasatan awam bermula hari ini, kaji semula standard mandatori pancaran medan elektromagnet infrastruktur komunikasi radio - MCMC

 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan satu Siasatan Awam di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 untuk mengkaji semula Standard Mandatori bagi Pancaran Medan Elektromagnet (EMF) dari Infrastruktur Komunikasi Radio - Penentuan No. 1 tahun 2010 (MS untuk EMF).

 

Menurut suruhanjaya tersebut, siasatan awam berkenaan bermula dari 19 Julai sehingga 17 September nanti.

 

"Kajian semula ke atas Standard Mandatori untuk EMF ini adalah penting sejajar dengan kemajuan teknologi komunikasi seperti 5G selain memberi jaminan kepada orang awam bahawa pancaran frekuensi radio EMF dari infrastruktur komunikasi radio di dalam negara adalah selamat serta dikawal selia secara berkesan dan efisien.

 

"Semakan semula ini antara lain akan meliputi proses kemas kini mengenai had pendedahan EMF berpandukan kepada International Commission on Non-Ionising Radiation Protection (ICNIRP) Guidelines terkini yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," jelas MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam kenyataan sama, MCMC turut menjemput orang awam yang terlibat dengan siasatan itu untuk melakukan penyerahan secara bertulis.

 

Penyerahan bertulis dalam salinan hardcopy dan elektronik itu perlu diserahkan kepada pihak Suruhanjaya selewat-lewatnya pukul 12.00 tengah hari, 17 September 2021 dan dialamatkan kepada;


 

Malaysian Communications and Multimedia Commission
MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6
63000 Cyberjaya
Selangor Darul Ehsan
Perhatian: Jabatan Pembangunan Teknologi
E-mel : tdd@mcmc.gov.my
Faksimili: +603 8688 1000

 

"Semua penyerahan bertulis yang dihantar dalam tempoh Siasatan Awam akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh MCMC dan laporan berkenaan harus diterbitkan dalam tempoh 30 hari selepas berakhirnya Siasatan Awam berkenaan," jelas MCMC lagi. - DagangNews.com