Sidang Kemuncak ASEAN bermula, Vietnam jadi contoh | DagangNews Skip to main content

Sidang Kemuncak ASEAN bermula, Vietnam jadi contoh

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Sidang Kemuncak ASEAN yang merupakan acara dwitahunan itu bermula secara dalam talian hari ini, dijangka mencakupi isu ketegangan Laut China Selatan selain rancangan pemulihan ekonomi akibat COVID-19. 

 

Delegasi Malaysia yang terlibat secara maya di sini, diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut diiriingi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

 

Sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ke-37 kali ini, Vietnam menjadi contoh untuk penganjuran persidangan yang besar-besaran itu ketika penularan pandemik COVID-19, kata Ketua Setiausaha ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi.

 

“Walaupun terpaksa bergelut dengan cabaran COVID-19 domestik dan bencana alam, Vietnam telah menunjukkan sifat kepimpinan dalam memastikan rantau ini teguh dan bertindak balas terhadap cabaran dengan mengutamakan Pusat ASEAN dan kepentingan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Dalam kenyataan sama, agenda Sidang Kemuncak ASEAN melibatkan perbincangan dan kelulusan pemimpin berhubung Kerangka Pemulihan Menyeluruh ASEAN dan Pelan Pelaksanaan, di mana bertindak sebagai strategi ke arah pemulihan dan pembangunan semula daripada pandemik COVID-19. 

 

Dalam pada itu, sidang kemuncak itu juga bakal membincangkan Penyusunan Koridor Perjalanan ASEAN yang akan mempermudah pelaksanaan semula perniagaan perjalanan penting di rantau itu. 

 

Sementara itu, dalam ucapan pembukaan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc sebentar tadi, beliau berkata, ASEAN setakat ini ‘tidak tertarik dengan kekuatan’ persaingan dan cabaran sistem multilateral antarabangsa. 

 

PM Vietnam
Nguyen Xuan Phuc

 

Persaingan dan cabaran yang dimaksudkan itu merujuk kepada perebutan Laut China Selatan dan peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. 

 

“Tiga suku abad telah berlalu sejak berakhirnya Perang Dunia Ke-2. Keamanan dunia dan keselamatan bagaimanapun belum betul-betul dapat dikekalkan.

 

“Pada tahun ini, mereka terutamanya di bawah ancaman hebat akibat risiko yang bertambah teruk daripada negara-negara tersebut, persaingan kuasa utama dan pertelagahan,” katanya pada pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 di Hanoi, Vietnam hari ini. 

 

Menurut Reuters, agenda utama dalam sidang kemuncak itu tertumpu ke arah ketegangan Laut China Selatan di mana kapal dari negara China kelihatan di pengairan dari Vietnam, Malaysia dan Indonesia memandangkan Beijing berusaha untuk menuntut laluan air itu.

 

China menuntut kira-kira 80% daripada Laut China Selatan di mana kebanyakan besarnya merangkumi zon ekonomi eksklusif (EEZ) serta Kepulauan Paracel dan Spratly. 

 

Ia juga bertindih dengan EEZ anggota ASEAN termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina. 

 

Baca : Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka dimuktamadkan Ahad ini

 

Dalam pada itu, pemimpin ASEAN juga dijangka menandatangani Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Ahad ini, menurut Mohamed Azmin. - DagangNews.com