Siemens, Progessture Solar jalin kerjasama pacu agenda peralihan tenaga hijau di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Siemens, Progessture Solar jalin kerjasama pacu agenda peralihan tenaga hijau di Malaysia

Tindaro Danze (dua dari kiri) bersama Pengasas Bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Progressture Solar, Cliff Siaw (dua dari kanan) bertukar dokumen selepas memeterai perjanjian kerjasama antara kedua-dua syarikat.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Siemens dan Progressture Power Sdn. Bhd. (Progressture Solar) menjalinkan kerjasama bagi memacu agenda peralihan tenaga hijau Malaysia menerusi teknologi pendigitalan.

 

Kedua-dua syarikat secara rasmi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Smart Nation Expo 2023 bagi memajukan rumusan tenaga tertumpu kepada integrasi kecekapan tenaga (EE) dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Kerjasama itu bertujuan melibatkan diri dengan pemain industri bagi menyampaikan rumusan tenaga yang mengurangkan pelepasan karbon yang ketara, dan membantu perniagaan untuk menerima pakai amalan perniagaan yang mampan dan mementingkan alam sekitar.

 

Siemens dan Progressture Solar memudahkan penggunaan RE dan kecekapan tenaga melalui model pemilikan yang mudah dan boleh diakses.

 

Matlamat utama adalah untuk mempercepatkan usaha negara mengurangkan separuh daripada pelepasan karbon menjelang 2030, seperti yang disasarkan dalam  Pelan Induk Industri Baharu 2023 (NIMP 2030) dan memacu aspirasi bersih-sifar Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menjelang 2050.

 

Perkongsian itu juga merangkumi sokongan teknikal, perkongsian sumber, dan pertukaran kepakaran dalam landskap pasaran solar dan tenaga antara kedua-dua syarikat.

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Progressture Solar, Ng Yew Weng berkata, pihaknya sedar dengan cabaran yang dihadapai oleh perniagaan apabila menggunakan rumusan tenaga hijau serta teknologi cekap tenaga dan atas sebab itu pihaknya komited membentangkan spektrum luas pemilikan yang boleh diakses.

 

"Matlamat kami adalah untuk memastikan kebolehcapaian untuk semua, tanpa mengira keperluan tenaga atau kekangan kewangan mereka.

 

"Kami akan membantu perniagaan mengurangkan kos tenaga mereka, meningkatkan operasi keseluruhan mereka dan memenuhi komitmen ESG mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sektor perindustrian merupakan penyumbang utama kepada pelepasan karbon global. Pada masa ini, 78.5% daripada pelepasan karbon di Malaysia masih diperoleh daripada bahan api fosil. Oleh itu, adalah penting bagi sektor perindustrian untuk mengurangkan jejak karbon.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia Tindaro Danze berkata, pihaknya komited untuk mengubah industri dan sektor infrastruktur di Malaysia melalui pendigitalan dan automasi.

 

"Ini adalah kunci utama yang membolehkan syarikat menggunakan tenaga dengan lebih cekap, mengurangkan pelepasan karbon, dan oleh itu memupuk amalan industri yang lebih mampan,” katanya. - DagangNews.com