KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pengeluar kabinet dapur, Signature International Bhd menjual dua lot tanah pegangan bebas dalam taman perindustrian Techpark @ Enstek Fasa 2 di Negeri Sembilan pada harga tunai RM25.7 juta atau RM59 setiap kaki persegi.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil pelupusan tanah itu akan digunakan untuk membayar pinjaman antara syarikat dan pinjaman bank.
Mereka dianggarkan mencatatkan keuntungan sebanyak RM3.71 juta.
Kumpulan itu berkata, ia membeli tanah seluas 4.04 hektar itu itu pada harga RM14.24 juta pada 2014, yang tidak digunakan untuk mana-mana operasi perniagaan kumpulan itu dan merupakan aset bukan teras.
"Tanah itu diambil alih pada 2014 bagi pembangunan masa depan kemudahan pembuatan baharu yang dijangka mengambil kira-kira 11.3 hektar ruang, dengan tanah selebihnya dipegang untuk tujuan pelaburan jangka panjang.
"Bagaimanapun, rancangan pembesaran itu tidak menjadi kenyataan dan oleh itu, lot tanah itu kekal kosong," katanya.
Jualan itu dijangka siap pada suku pertama 2025. - DagangNews.com