Sime Darby jual traktor kepada FGV Plantations | DagangNews Skip to main content

Sime Darby jual traktor kepada FGV Plantations

New Holland TD90 Tractors

 

 

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Sime Darby Industrial Sdn Bhd (SDISB) baru-baru ini menjalin urus niaga dengan Plantations (Malaysia) Sdn Bhd (FGVPM) bagi penjualan 58 unit New Holland TD90 Tractors. 

 

New Holland merupakan cabang perniagaan di bawah SDISB, anak syarikat Sime Darby Industrial yang mana traktor syarikat ini dikenali pemain utama dalam industri minyak sawit di negara ini.  

 

Ketua Perniagaan Bersekutu SDISB, Ooi Sim Mun berkata, urus niaga ini menjadi satu lagi kejayaan kepada perniagaan New Holland dan kepercayaan FGVPM yang membuat pesanan jentera dengan banyak.   

 

"SDISB mempunyai rekod yang baik dalam menyediakan perkhidmatan untuk industri perladangan menerusi cabang New Holland selama hampir satu abad di Malaysia.

 

"Kami berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama inisiatif dengan FGVPM pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis penyerahan jentera itu diadakan baru-baru ini di ibu pejabat Tractors Engineering Complex (TEC), SDISB di Puchong, Selangor.

 

Kesemua jentera yang mempunyai jaminan sehingga 12 bulan dengan waktu tanpa had, telah diserahkan kepada FGVPM dan FGV Agri Services Sdn. Bhd.  

 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kumpulan FGV Plantations, Syed Mahdhar Syed Hussain berkata, pembelian traktor New Holland ini akan membantu FGV memacu pembangunan berterusan bagi kerja-kerja perladangan.

 

"Kami kini mengeluarkan sehingga 3 juta tan metrik minyak sawit mentah setahun, justeru, pembelian traktor ini dapat membantu FGV bergerak ke hadapan untuk memperluaskan program modenisasi ladang," katanya. 

 

Di samping itu, katanya, jentera berkenaan memainkan peranan penting dalam menambah baik operasi perladangan FGV. - DagangNews.com