Sime Darby Plantation dijangka lengkapkan penilaian amalan buruh awal 2022 | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation dijangka lengkapkan penilaian amalan buruh awal 2022

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Sime Darby Plantation Bhd. dijangka melengkapkan kajian penilaian ke atas operasi perladangan di Malaysia menjelang awal 2022, menurut AmInvestment Bank Research.

 

Sebelum ini, syarikat berharap penilaian yang dijalankan Impact Ltd. terhadap amalan buruh Sime Darby Plantation dapat dilengkapkan pada Mei. 

 

Penilaian itu dilaksanakan berikutan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran minyak sawitnya sejak 31 Disember 2020.

 

Ketika mesyuarat secara maya penganalisis pada Isnin, Sime Darby Plantation memaklumkan meskipun Impactt telah melengkapkan temu bual bersama 1,600 pekerja, tetapi perintah kawalan pergerakan (PKP) menyukarkan firma berkenaan untuk membuat lawatan tapak ke ladang syarikat tersebut di timur Semenanjung Malaysia.

 

Penganalisis AmInvestment Bank Research, Gan Huey Ling berkata, lawatan tapak dari semasa ke semasa adalah keperluan yang ditetapkan Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan AS (CBP)  berikutan beberapa petunjuk seperti gangguan seksual dan penggunaan buruh kanak-kanak memerlukan temu bual secara bersemuka.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan tempoh penilaian secara lapangan ini akan mengambil masa sebulan untuk dilengkapkan ekoran keadaan yang di luar kebiasaan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Syarikat gergasi perladangan Malaysia itu dikenakan sekatan import oleh CBP selepas perintah sekatan dikeluarkan ke atas minyak sawit dan produk minyak sawitnya berikutan dakwaan buruh paksa yang dibuat oleh kumpulan anti pemerdagangan manusia Liberty Shared (LS) yang berpangkalan di Hong Kong, pada April tahun lalu.

 

Sejak itu, Sime Darby Plantation berusaha keras untuk menangani isu berkenaan dengan terus mengadakan perbincangan bersama CBP dan LS. 

 

Pada 1 Mac lalu, syarikat melantik Impactt sebagai penilai pihak ketiga kepada penubuhan Suruhanjaya Pakar Penilaian Hak Asasi Manusia. 

 

Impactt, yang merupakan konsultan perdagangan beretika dengan kepakaran khusus dalam mengesan dan memperbaiki masalah buruh paksa dalam rantaian bekalan syarikat, sejajar dengan 11 petunjuk buruh paksa Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), melakukan penilaian komprehensif mengenai amalan buruh Sime Darby Plantation di seluruh operasi di Malaysia.

 

Bagaimanapun, pada Julai lalu, syarikat dilaporkan membubarkan suruhanjaya tersebut bagi membolehkan lebih banyak banyak masa diberikan untuk penilaian bebas ke atas amalan buruh dilaksanakan.

 

Oleh itu, Jawatankuasa Kelestarian Lembaga Sime Darby Plantation akan mengambil alih fungsi pengawasan penting sepanjang pelaksanaan penilaian itu yang dipengerusikan pengarah bebas, Datuk Henry Barlow. 

 

Malah, Sime Darby Plantation juga komited untuk melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan seperti disarankan berdasarkan penemuan Impactt.

 

Menurut Huey Ling, syarikat melaksanakan pelbagai langkah untuk memperbaiki amalan buruhnya dengan menukar beberapa proses berdasarkan maklum balas yang diterima. 

 

"Antaranya, membina loker yang boleh dikunci bagi membolehkan pekerja ladang menyimpan pasport mereka dan merekrut pihak bebas ketiga untuk menjalankan saluran pengaduannya. 

 

"Selain itu, syarikat juga sedang bekerjasama dengan konsultan untuk melaksanakan kawalan dan proses pengambilan pekerja," katanya.

 

Namun, beliau berkata, Sime Darby Plantation bernasib baik kerana sekatan yang dikenakan CBP itu sama sekali tidak menjejaskan mana-mana pelanggannya. 

 

"Pendedahan syarikat ini dalam pasaran AS dalah kecil dengan jumlah jualan kira-kira AS$5 juta pada tahun kewangan 2020," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Sime Darby Plantation dengan nilai saksama lebih rendah pada RM3.80 berbanding RM4.90 sebelum ini. 

 

Ia juga mengurangkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan 2022 ekoran pertumbuhan buah tandan segar yang lemah sekitar 4% berbanding 9% pada tahun sebelumnya. 

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang berkata, tempoh yang lebih lama diperlukan untuk melengkapkan penilaian itu semakin melambatkan usaha menanggani isu berkenaan. 

 

"Malah, kami percaya ini juga akan menjejaskan sentimen sektor minyak sawit Malaysia, menyebabkan pelabur institusi tempatan dna asing menjual saham berkaitan perladangan ekoran kebimbangan isu berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya. 

 

Firma itu berkata, selain tidak menjejaskan para pelanggannya, syarikat juga bersedia bekerjasama dengan Rundingan Meja Bulat Kelestarian Minyak Sawit (RSPO) dalam menjalankan penilaian terhadap amalan buruh. 

 

"Setakat ini, syarikat menanggung kos sekitar RM20 hingga RM25 juta untuk menyelesaikan tuduhan penggunaan buruh paksa di ladangnya. 

 

"Kos ini merangkumi terutamanya yuran perundingan dan juga kos menyediakan loker pasport untuk para pekerjanya," katanya.

 

Bagaimanapun, Lee Fang berkata, masih belum jelas sama ada Sime Darby Plantation akan menanggung kos pemulihan untuk membayar ganti rugi kepada pekerja migrannya. 

 

Ini kerana, kataya, Sime Darby Plantation mendedahkan ia mengendalikan pengambilan pekerja secara langsung membabitkan pekerja Indonesia yang merangkumi 60 hingga 65% tenaga buruh dan tidak mengenakan sebarang caj sebarang yuran pengambilan, sebaliknya menanggung semua kos itu secara rasmi dan sah.

 

"Sehubungan itu, ini bermakna kos pemulihan setiap pekerja ini, jika ada, tidak ketara berbanding yang dibayar syarikat pengeluar sarung tangan getah kepada pekerja asingnya," tambahnya.  - DagangNews.com