Sime Darby Plantation lantik Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani sebagai pengerusi interim | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation lantik Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani sebagai pengerusi interim

KUALA LUMPUR 16 Jun - Sime Darby Plantation Bhds (SDP) melantik pengarah bukan bebasnya Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani sebagai pengerusi interim kumpulan itu.

 

Pelantikan tersebut adalah susulan persaraan Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, 79, sebagai pengerusi pada penutup mesyuarat agung tahunan kumpulan itu pada 5 Jun, kata kumpulan itu dalam satu makluman.

 

Megat Najmuddin telah berkhidmat sebagai pengerusi SDP sejak 2020 dan memegang kepentingan langsung sebanyak 20,025 saham dalam kumpulan itu.

 

Nik Norzrul, 62, pula dilantik menganggotai lembaga pengarah SDP setahun lalu.

 

Beliau ialah pengerusi dan rakan kongsi kanan firma guaman terkemuka Zaid Ibrahim & Co. Sebelum ini, beliau mengamalkan undang-undang dengan firma guaman antarabangsa Baker & McKenzie dan bekerja di firma audit dan bank di Kuala Lumpur.

 

Pada 2017, Nik Norzrul dilantik oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura.

 

Nik Norzrul juga merupakan pengerusi Malaysian Rating Corporation Bhd.

 

Selain itu, beliau juga menganggotai lembaga pengarah Amanah Saham Nasional Bhd, Cagamas Holdings Bhd, MUFG Bank (Malaysia) Bhd, dan Pertama Digital Bhd. - DagangNews.com