Sime Darby Property sasar jualan RM2.3 bilion, lebih rendah berbanding unjuran Kenanga Research bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property sasar jualan RM2.3 bilion, lebih rendah berbanding unjuran Kenanga Research bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mac - Sime Darby Property Berhad menetapkan sasaran jualan lebih rendah sebanyak RM2.3 bilion bagi FY23 lebih rendah berbanding unjuran Kenanga Research.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu kekal fleksibel dengan pelan pelancaran bernilai RM3 bilion dan bergantung kepada keadaan pasaran semasa.

 

Katanya, keutamaan kumpulan itu adalah untuk memaksimumkan margin keuntungan dan hanya akan melancarkan projek yang memenuhi ambang margin minimum.

 

"Sehingga akhir 2022, jualan yang belum dibilkan berada pada paras tertinggi iaitu RM3.6 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022, untung bersih kumpulan melonjak kepada RM103.15 juta daripada RM62.77 juta, manakala pendapatan pada suku keempat meningkat kepada RM956.90 juta daripada RM738.44 juta setahun sebelumnya.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) untung bersih kumpulan itu melonjak kepada RM315.84 juta daripada RM146.89 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM2.7 bilion daripada RM2.2 bilion sebelumnya.

 

Firma itu juga menjangkakan kumpulan itu mencatatkan margin keuntungan kasar yang lebih rendah sebanyak 20%-25% untuk FY23 dan FY24 (berbanding 30% yang dicapai pada FY22) kerana kontrak margin rendah yang diberikan pada FY21 dan FY22 akan menyaksikan peningkatan dalam kerja tahun kewangan ini.

 

Katanya, kontrak-kontrak itu mempunyai margin yang lebih rendah disebabkan oleh lonjakan kos bahan binaan ditambah pula dengan kekurangan tenaga kerja yang dialami ketika itu.
 

"Walaupun masalah tenaga kerja telah berkurangan, kumpulan masih memerlukan kira-kira 2,000 pekerja untuk melaksanakan kerja yang sedang berlangsung dan menjangkakan jumlah pekerja mencukupi menjelang 2HFY23 apabila pekerja masuk secara beransur-ansur," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 55 sen sesaham.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk kemerosotan berpanjangan dalam pasaran hartanah tempatan, kenaikan kadar gadai janji menjejaskan lagi kemampuan selain peningkatan kos pembinaan dan risiko berkaitan operasi luar negara. - DagangNews.com