SIRIM anjur latihan antarabangsa mengenai Halalan-Tohyyiban Skip to main content

SIRIM anjur latihan antarabangsa mengenai Halalan-Tohyyiban

DELEGASI ANTARABANGSA JALANI LATIHAN BERKAITAN HALALAN-THOYYIBAN

SIRIM STS Sediakan Latihan kepada 14 Peserta Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) 2021

 

SHAH ALAM 17 Jun – Satu delegasi antarabangsa Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) 2021 telah menerima latihan dan pengalaman daripada SIRIM dalam bidang Halalan-Thoyyiban.  

 

Latihan selama lima hari itu adalah program tahunan yang dibiayai oleh Kementerian Luar. Seramai 14 peserta dari pelbagai negara seperti Azerbaijan, Bahrain, Kemboja, Kyrgyzstan, Mauritius, Filipina, Uganda dan Zambia telah menghadiri latihan berkenaan yang diadakan secara maya bermula 14 sehingga 18 Jun 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM STS, Raja Yahya Raja Ariffin berkata, latihan berkenaan dianjurkan oleh SIRIM STS, anak syarikat milik penuh SIRIM, mampu merangsang pelaburan dalam Halalan Thoyyiban berskala kecil dan sederhana untuk semua jenis industri makanan dan perkhidmatan di seluruh rantaian bekalan.

 

Katanya, masyarakat kini memilih untuk membeli makanan Halal, ini termasuk pengguna bukan Islam dan kebanyakan pengguna yakin makanan yang mendapat pensijilan Halal mempunyai kebaikan dari segi kesihatan dan cara pengurusan yang lebih beretika.

 

"Malah barangan Halal seharusnya dilihat sebagai bentuk jaminan keselamatan makanan. Produk yang disahkan Halal bermaksud produk tersebut diuruskan dan disembelih mengikut peraturan Islam,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Menurut beliau, program latihan itu dianjurkan untuk memberi pemahaman berkenaan keperluan berkaitan standard dan panduan praktikal mengenai pelaksanaan penyediaan dan pengendalian makanan halal di dalam industri dan perkhidmatan makanan.

 

Pensijilan Halal adalah untuk memastikan pengguna Islam dijamin untuk produk makanan Halal yang mematuhi prinsip Syariah. Pensijilan Halal juga menekankan konsep “Thoyyiban” atau menyeluruh yang perlu diterapkan di dalam pemprosesan dan pengendalian makanan, katanya lagi.

 

Modul latihan direka sesuai untuk diterapkan oleh negara yang terlibat di dalam program ini.

 

Latihan ini memberi keupayaan kepada peserta meningkatkan pengetahuan mereka dan memahami keperluan penggunaan Standard Malaysia sebagai rujukan dalam menghasilkan makanan halal dan meningkatkan pemahaman mengenai keperluan Halalan Thoyyiban dalam mana-mana industri dan perkhidmatan makanan.

 

Raja Yahya berkata, SIRIM STS berbesar hati dapat merealisasikan aspirasi dan komitmen kerajaan terhadap promosi kerjasama teknikal di antara negara-negara membangun, memperkuat kerjasama serantau dua hala serta memupuk kemandirian kolektif di antara negara-negara membangun. - Dagangnews.com