Sistem keadilan telus, bebas campur tangan pemerintah adalah perlu bagi menarik pelabur asing ke Malaysia - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Sistem keadilan telus, bebas campur tangan pemerintah adalah perlu bagi menarik pelabur asing ke Malaysia - Muhyiddin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Sistem keadlian yang benar-benar telus dan bebas daripada campur tangan pemerintah adalah antara perkara penting bagi menarik lebih ramai kehadiran pelabur asing ke negara ini.

 

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berita pelepasan seorang pemimpin kanan kerajaan daripada 47 tuduhan rasuah atas arahan Peguam Negara selepas beliau dipanggil membela diri di mahkamah bukanlah satu contoh yang baik mengenai kebebasan sistem keadilan di Malaysia. 

 

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan dalam meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur asing dengan mengamalkan dasar pro-pelabur dan adil dalam pelaksanaan dasar pelaburan serta pengagihan bantuan kepada setiap negeri.

 

Beliau berkata, Malaysia memerlukan hala tuju ekonomi yang jelas dan strategi lebih holistik dengan ekosistem kondusif bagi merancakkan pemulihan ekonomi negara, menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan berteknologi tinggi.

 

"Kita dilihat oleh pelabur asing sebagai setaraf dengan negara-negara dunia ketiga yang digelar sebagai negara penyangak atau ‘the rogue state'.

 

expm
Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

"Dalam pada kita ingin mengejar status negara berpendapatan tinggi, isu jurang pendapatan rakyat secara keseluruhannya perlu diberi perhatian serius. 

 

"Tiada gunanya negara mencapai status negara berpendapatan tinggi jika rakyat di bawah tidak menikmati manfaat daripadanya," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Sementara itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera pula masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30% dan pada 2020 pegangan Bumiputera hanya 18.4 peratus. 

 

Beliau berkata, sasaran 30% ini tidak realistik untuk dicapai dalam tempoh dua tahun berdasarkan pertumbuhan kadar peningkatan ekuiti korporat Bumiputera kini yang agak perlahan.

 

"Saya juga ingin menyentuh mengenai status Kajian Impak Agensi-Agensi Bermandat Bumiputera yang siap pada tahun 2022.

 

"Kajian impak ini penting bagi menilai keberkesanan objektif dan hala tuju pencapaian Bumiputera, maka saya menggesa agar kerajaan telus dan proaktif dalam memastikan hasil kajian ini diberikan perhatian dan dilaksanakan dengan segera," katanya.  - DagangNews.com