Oleh Syed Tariq
(Pembaca DagangNews.com)
BARU-BARU ini saya terbaca satu artikel tulisan Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) yang menimbulkan kegusaran mengenai Skim Pajakan Persendirian atau Private Lease Scheme (PLS) dalam industri perumahan.
Beliau dengan tegas menentang keras bab baharu yang diusulkan dalam Kanun Tanah Negara (National Land Code) untuk memperkenalkan PLS dalam undang-undang hartanah Malaysia. Beliau menjelaskan, PLS memberi peluang kepada pemilik tanah pegangan bebas/kekal untuk mambangunkan tanah, tanpa keperluan menjual hak milik bebas/kekal.
Pendirian yang diambil oleh wakil HBA ini berlandaskan andaian bahawa PLS mungkin dimanipulasi oleh organisasi besar yang memiliki atau membangunkan tanah milik kekal. Beliau beranggapan pembeli rumah bakal diperdayakan kerana mereka sekadar membeli pajakan dan bukan hak milik, dan selepas membuat pembayaran bertahun lamanya, pembeli akhirnya tidak memiliki hartanah berkenaan.
Bagi saya, gambaran ‘menyedihkan’ yang diberi oleh wakil HBA ini terhadap PLS, bakal mengelirukan dan bertujuan memburukkan PLS ini. Mungkin wakil HBA ini perlu diberi suatu perspektif baharu iaitu bagaimana PLS dapat membantu ramai pemilik tanah individu seperti saya.
BACA : Kepentingan dasar pajakan tanah kepada negara
Selama bertahun saya memiliki beberapa ekar tanah pegangan bebas/kekal, iaitu tanah nenek moyang kami yang tidak dapat kami majukan atas faktor tidak berkemampuan. Tanah ini telah terbiar, penuh dengan semak-samun dan tumbuh-tumbuhan liar di antara beberapa pokok buah yang semakin tua.
Beberapa tahu lalu, saya mendapat tawaran oleh sebuah syarikat untuk membeli tanah berkenaan. Walau bagaimanapun, saya telah menolak tawaran itu kerana tidak mahu kehilangan tanah pusaka keluarga. Sejak sekian lama mereka mencuba untuk mengubah fikiran saya dan pada tahun lalu, mereka telah mengesyorkan satu skim yang membolehkan pemilik tanah pegangan bebas/kekal untuk mambangun tanah, tanpa keperluan menjual hak milik bebas/kekal.
Pada awalnya, sukar untuk kami memahami skim ini, namun setelah beberapa penjelasan serta rundingan dengan peguam, saya yakin dengan pilihan atau alternatif yang diajukan ini, iaitu Skim Pajakan Persendirian (PLS). Jelas, PLS membuka peluang kepada pemilik tanah seperti saya untuk membangunkan tanah yang terbiar dan bakal mendapat punca pendapatan.
Tanpa skim seperti PLS ini, sudah tentu saya tidak mampu memajukan tanah yang akan terbiar menjadi hutan. Di bawah skim ini, kami akan menjual pajakan tanah kepada syarikat berkenaan. Syarikat pula bakal menjalankan projek pembangunan perumahan dan menjual pajakan kepada pembeli. Seperti yang diperjelaskan, pembeli sekadar membeli pajakan untuk jangka masa yang ditetapkan dan tidak akan mempunyai hak milik ke atas tanah berkenaan.
Bagi saya dan keluarga, PLS ini adalah alternatif yang sangat sesuai untuk situasi kami. Oleh itu, saya amat kesal apabila suatu perspektif berat sebelah tentang PLS, diuar-uarkan, yang memberi gambaran seolah-olah pembeli bakal dipermainkan oleh pemilik atau pemaju tanah.
Ada beberapa perkara lain yang telah dibangkitkan oleh wakil HBA ini, yang sukar diterima oleh saya. Antaranya termasuk kenyataan bahawa PLS ini cuma sesuai untuk negara seperti Singapura dan Hong Kong kerana mereka mempunyai tanah yang terhad.
Menurut beliau, oleh kerana Malaysia mempunyai jumlah tanah yang besar, PLS tidak harus dilaksanakan di negara ini. Wakil HBA ini juga mengkritik Kerajaan kerana membenarkan PLS ini diperkenalkan di Johor, berlandaskan objektif menghindar pemilikan tanah
hak milik kekal dari jatuh ke tangan warga asing.
Saya menyokong sepenuhnya pengenalan PLS dalam keadaan sedemikian, agar tanah kita terus dimiliki oleh warga Malaysia. Jika dibandingkan dengan Hong Kong dan Singapura, sudah pasti Malaysia mempunyai tanah luas yang masih belum dibangunkan. Namun, adakah wakil HBA ini menyarankan kita harus menjaja tanah kita kepada warga asing atas alasan kita mempunyai jumlah tanah yang besar?
Lagipun, PLS memberikan alternatif kepada pemilik tanah seperti saya untuk mampu memajukan tanah yang terbiar. Ia memberi pilihan untuk pemaju hartanah dan pilihan alternatif kepada pembeli. PLS ini sekadar pendekatan alternatif untuk membangunkan tanah dan tidak mengecualikan atau mengenepikan pembangunan tanah secara konvensional.
HBA juga mendakwa bahawa pelaksanaan PLS akan menyebabkan kenaikan harga rumah. Hal ini agak membingungkan - setahu saya, kenaikan harga hartanah biasanya dipengaruhi oleh spekulator dan pelabur jangka pendek, bukan pembeli serius yang membeli dengan niat untuk tinggal di dalamnya.
Suatu lagi aspek yang tidak dapat saya terima adalah dakwaan bahawa PLS hanya diperkenalkan di Johor. Semasa saya dihubungi oleh syarikat yang berminat dengan tanah pusaka saya, saya difahamkan bahawa PLS sudah dilaksanakan dalam pembangunan tertentu di Pulau Pinang. Malah, jika saya tidak silap, pembangunan tanah wakaf juga merupakan amalan yang sama atau
mirip dengan PLS.
Bagi pemilik tanah individu yang tidak mampu memajukan tanah mereka, PLS tentunya merupakan alternatif yang menarik. Pemilik individu tanah pegangan bebas/kekal mempunyai hak untuk menjual pajakan tanah mereka kepada pemaju. Selagi kedua-dua pihak mempunyai keinginan, mempunyai pilihan dan berkemampuan untuk mewujudkan kontrak, dengan mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkenaan, HBA tidak berhak untuk masuk campur.
Selagi pembeli jelas tentang status hartanah yang mereka minati, mereka diberi pilihan yang sah, mereka memiliki kapasiti dan kemampuan untuk memperoleh hartanah berkenaan dan membuat kontrak, tanpa hadirnya faktor penipuan atau penyelewengan, urusan di antara pembeli dan penjual bukan urusan HBA.
Sekiranya pembeli tidak yakin dengan hartanah di bawah PLS, mereka mempunyai pilihan untuk membeli hartanah dari pembangunan konvensional. Jadi, mengapa HBA perlu mengganggu hak dan pilihan individu atau pihak swasta untuk melaksanakan PLS?
Saya pasti ramai pemilik tanah pusaka yang tidak mampu melakukan apa-apa dengan tanah mereka, yang terbiar bertahun lamanya. PLS memberi peluang untuk mereka memajukan tanah, tanpa menjejaskan hak milik kekal mereka.
Untuk itu, saya amat berharap bahawa PLS akan dilaksanakan di seluruh negara sebagai pendekatan alternatif untuk pembangunan tanah. - DagangNews.com
Pembaca DagangNews.com yang berminat mengulas sesuatu isu boleh menghantar tulisan kepada [email protected] dan Sidang Editorial memegang hak untuk mengubah, menyunting atau meminda sebarang perenggan atau perkataan yang dianggap bertentangan dengan dasar editorial portal berita ini. - Pengarang